04 Mei 2009

Jawapan kepada Jemaah Menteri : Isu Status Anak


Saya merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh akhbar tempatan memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Aziz berkatan isu perceraian dan hak penjagaan kanak-kanak yang melibatkan seseorang yang "convert" atau memeluk agama Islam.

Sekali lagi isu berkaitan status agama seorang kanak-kanak apabila salah seorang daripada ibubapanya memeluk Islam dan hak seseorang "mua'alaf' dalam hal perceraian dibangkitkan dan diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ini merujuk kepada kes terbaru melibatkan seorang bernama Pathmanaban atau kini dikenali sebagai Mohd. Ridhuan Abdullah, dimana beliau yang asalnya beragama Hindu telah memeluk agama Islam. Beliau juga dikatakan telah menukar agama anaknya yang lahir daripada keluarga Hindu kepada Islam. Isteri beliau dikatakan tidak mengetahui akan perkara ini.
Kini timbul isu yang diperbesar-besarkan tentang hak menukar agama anak bawah umur daripada bukan Islam kepada Islam oleh mana-mana ibu bapa yang memilih memeluk agama Islam.

Sebenarnya isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes Subashini dimana Mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa "ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya"..

Mahkamah Persekutuan menafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada mana-mana salah seorang daripada mereka iaitu ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh di anuti oleh anak-anak mereka.

Oleh itu tidak timbul isu dalam kes Pethmanaban @ Mohd. Ridhuan yang menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau anuti sekarang.

Malahan dari segi hukum syara', ada pendapat yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak dibawah umur akil baligh dianggap Islam sebagai agama fitrah. Samada mereka disyahadahkan secara formal atau tidak itu tidak menjadi isu. Sebab itu kalau mana-mana kanak-kanak dijumpai tanpa dapat dikesan ibubapanya, atau ditemui mati tanpa diketahui agamanya, maka kanak-kanak itu adalah di anggap Islam dan akan diuruskan sebagai seorang Muslim.

Ini sekaligus menyanggah tanggapan mereka yang menyatakan dalam kes seseorang itu masuk Islam tanpa pengetahuan keluarga, maka ini akan menganiaya anak-anaknya kerana mereka tidak mendapat pusaka. Inilah antara isu yang ditimbulkan didalam kes Allahyarham Mohd. Moorthy Abdullah. Sebaliknya jika seseorang itu masuk Islam dan meninggal, walaupun anak-anak beliau tidak di syahadahkan secara formal (apatah lagi kalau masih bayi dll), maka anak-anak itu di anggap berhak mewarisi pusaka beliau menurut hukum pusaka dan pembahagian faraid didalam Islam.

Ada pihak menyatakan bahawa ini tidak adil kerana menyebabkan ibu itu hilang hak jagaan terhadap anak-anak mereka.

Isu ini juga tidak timbul kerana hak menukar agama dan hak jagaan adalah dua isu yang berbeza. Ini telah dijawab juga oleh Mahkamah dalam kes S. Shamala dimana bapa yang telah memeluk agama Islam dan menukar agama anak-anak beliau sekali tidak diberikan hak jagaan, sebaliknya hak jagaan diberikan kepada ibu yang hindu, dengan satu caveat yang ibu itu tidak boleh menukar agama anak-anak tersebut.

Disana terdapat juga tuduhan menyatakan bahawa si suami memeluk Islam sebagai pintu belakang" untuk menafikan hak jagaan ibu tersebut. Ini adalah kerana apabila bapa tersebut memeluk Islam dan menukar agam anak-anaknya ke Islam, beliau akan pergi ke Mahkamah Syariah dan mendapatkan hak jagaan. Sebaliknya ibu itu didakwa tidak boelh pergi ke Mahkamah Syariah kerana beliau bukan Islam. Dan beliau tidak boleh mendapatkan perintah Mahkamah Sivil kerana berdasarkan Artikel 121 (1A), Mahkamah Sivil tidak ada bidangkuasa membicarakan hal ehwal berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah, dan hal jagaan kanak-kanak Islam adalah dalam bidangkuasa hadhanah Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan wujud disana segelintir dikalangan mereka yang memeluk Islam dan memperkudakan sistem perundangan sedia ada untuk mendapatkan perintah jagaan anak dan menafikan pihak yang bukan Islam daripada keadilan sewajarnya. Bagi saya ini suatu persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.

Saya berpendapat bahawa isu ini sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan sempit golongan tertentu. Sebagaimana kita maklum, apabila timbul isu hadhanah atau hak penjagaan kanak-kanak, maka Mahkamah Syariah, sebagaimana Mahkamah Sivil akan membicarakan kes tersebut berdasarkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu yang diutamakan. Tanggapan menyatakan bahawa si bapa akan mendapat hak jagaan otomatik daripada Mahkamah Syariah adalah tidak benar sama-sekali. Apatah lagi tohmahan yang menyatakan kalau si ibu (yang bukan Islam itu) pergi ke Mahkamah Syariah, sudah pasti dia akan kalah kerana Mahkamah Syariah pasti akan menyebelahi si bapa yang sudah memeluk Islam.

Ternyata mereka yang membuat kenyataan tohmahan saperti ini adalah jahil dan tidak mengetahui sistem perundangan dan jurisprudens Islam. Undang-undang Islam bukan undang-undang rimba yang ditadbir oleh hakim-hakim tarzan mengikut citarasa nafsu beliau.

Sejarah telah membuktikan betapa para hakim syari'e sentiasa bertindak berdasarkan lunas-lunas ke'adilan kerana mereka sentiasa sedar akan hadis Rasulullah bahawa daripada tiap tiga hakim, dua sudah menempah tempatnya di neraka. Mereka juga sedar bahawa mereka wajib melaksanakan keadilan kepada mana-mana litigan tidak kira Muslim atau bukan.

Ini terbukti dalam kes terbaru Nyonya Tahir yang telah keluar daripada Islam, mengamalkan kehidupan buddha dan mati dalam agama tersebut. Setelah mendengar saksi-saksi dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa Nyonya Tahir telah melalui kehidupan bukan Islam dan mati sebagai bukan Islam. Maka mayat beliau diserahkan kembali kepada keluarga bukan Islamnya.

Apa yang penting ialah pihak-pihak yang terlibat tidak menanamkan sikap[ prejudis dan buruk sangka terhadap sistem perundangan Islam dan pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Mahkamah Syariah. Walaupun sistem perundangan yang dilaksanakan belum lengkap sepenuhnya, namun dari segi perlaksanaan Mahkamah Syariah boleh berbangga kerana telah cuba sedaya upaya melaksanakan keadilan kepada semua pihak.

Apa yang perlu difahamkan pertamanya ialah apabila seseorang bukan Islam membawa kes ke Mahkamah Syariah, ini bukan bermakna mereka telah masuk Islam. Inilah masalahnya apabila ada pihak mengambil kesempatan akibat daripada kejahilan orang awam bahawa pergi ke Mahkamah Syariah bermakna seseorang itu masuk Islam.

Kedua, walaupun seseorang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam Mahkamah Syariah (bukan kerana undang-undang Islam tetapi kerana Perlembagaan Persekutuan yang menyekatnya), beliau masih boleh melibatkan diri dalam prosiding di Mahkamah Syariah sebagai saksi.

Bermakna sekiranya si bapa yang telah menukar agama memohon hak jagaan anak-anak dibawah umur baligh, maka si ibu (yang bukan Islam) boleh memohon memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa si bapa tidak layak mendapat hak jagaan. Dan yakinlah bahawa Mahkamah Syariah akan menimbang semua keterangan dan bukti menurut undang-undang sedia ada dengan meletakkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu sebagai keutamaan. Dan insyallah jika terbukti si bapa tidak layak, Mahkamah Syariah tidak akan memberikan hak jagaan itu kepada si bapa walaupun dia Muslim. Malahan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memberikan hak jagaan itu kepada si ibu, walaupun dia bukan Islam.. Dan inilah yang telah dibuktikan dalam kes Nyonya Tahir.

Berdasarkan saranan diatas, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan kabinet nsaperti yang disiarkan melalui kenyataan Menteri di JPM tersebut yang mengesyorkan supaya digubal undang-undang untuk menafikan penukaran agama bagi kanak-kanak dibawah 18 tahun. Jawatankuasa itu juga mengesyorkan supaya isu berkaitan ini diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah.

Saya tidak pasti samada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang kedudukan Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri.

Saya berharap sebelum kabinet mengambil tindakan selanjutnya, hendaklah semua pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pendapat. Dan nasihat saya kepada kabinet, hormatilah keluhuhuran Perlembagaan dan hormatilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang telah pun diputuskan.

KEADILAN BUKAN HANYA PERLU DILAKSANAKAN TAPI PERLU NAMPAK DILAKSANAKAN

Tiada ulasan: