08 Mei 2010

(SKRIP) Sketsa Ragut

Ini skrip yang aku dah hantar kat RTM untuk pertandingan drama radio skrip 2010. Sampai sekarang tak dengar2 khabar, mungkin tak ada rezeki kot. Oleh itu, aku post kan la skrip sketsa (asalnya ada 12 skrip) yang aku rasa belum menunjukkan kematangan idea aku. Biasalah, aku ini hingusan dalam dunia skrip..

K/B : SUASANA TEPI JALAN RAYA

LEE

Kumar, hari ini suratkhabar siarkan berita apa?


KUMAR

Biasalah, ragut sana, ragut sini dan ragut sahaja. Macam dah tak ada kisah lain.


LEE

Mana taknya, dah setiap hari kes ragut akan berlaku. Bukan setakat berlaku di bandar besar sahaja, di kampung pun boleh berlaku.


KUMAR

Itulah yang saya risaukan. Kes ragut sekarang bukan sahaja melibatkan kaum wanita, bahkan kaum lelaki pun boleh jadi mangsa. Bukan setakat itu sahaja, sekarang ini boleh sampai ke tahap membunuh mangsa lagi.


LEE

(TERKEJUT) Hah! Betulkah?


KUMAR

Betul. Saya tak tokok-tambah. Memang ada kes sampai mangsa kes ragut ini yang cedera parah sehingga menemui maut.


LEE

Kenapa orang macam itu wujud di Malaysia?


KUMAR

Tak perlu nak dipersoalkan kewujudan mereka. Kalau dah namanya manusia, memang sentiasalah ingin mencari jalan pintas untuk senang. Peragut ini bukannya ingin bekerja seperti kita. Bila tak bekerja, mereka pun terdesaklah untuk hidup. Bila dah terdesak, itu yang jadi kes ragut tu.


LEE

Tiba-tiba pula saya rasa risau dengan keselamatan isteri saya. Kamu tahu ke bagaimana mereka meragut?


KUMAR

Tahu. Mereka selalunya naik motosikal secara berdua.Ada juga yang berjalan kaki. Namun apa yang pasti mereka akan bertindak jika mereka tahu apa yang digalas mangsa mungkin mengandungi wang dan barangan yang boleh dijual.


LEE

(GERAM) Kalau lah saya dapat siapa yang meragut tu, saya akan pukul dia cukup-cukup.


KUMAR

Eh, Lee. Kita tak boleh meletakkan undang-undang di atas bahu kita sendiri. Jangan bertindak berlebihan. Lebih baik kita tangkap dan serahkan kepada pihak polis.


LEE

Kenapa pula kita tak boleh bertindak ke atas peragut, sedangkan mereka telah mengambil barang kita dan mengakibatkan kita tercedera?


KUMAR

Jika semua bertidak begitu, maka setiap orang akan mula memukul sesiapa yang disyaki sebagai peragut sehingga mati. Walaupun tiada bukti yang menunjukkan dia itu sebagai peragut.


LEE

Oh, maksudnya nanti ada orang salah guna kelebihan ini dengan menuduh orang lain sebagai peragut.


KUMAR

Ya. Lebih baik kita serahkan kepada pihak polis dan biarkan undang-undang yang menghukum mereka. Mereka mungkin bukan berniat untuk meragut tetapi kesempitan hidup telah memaksa mereka bertindak begitu.


LEE

Tapi mereka takkan tak fikir tentang keadaan mangsa. Bayangkan jika mangsa baru sahaja mengeluarkan duit gajinya, tiba-tiba diragut. Tidakkah mangsa pula akan jadi orang yang terdesak.


KUMAR

Itu saya tak nafikan. Namun tugas kita juga untuk berjaga-jaga dari golongan peragut ini. Kadang-kadang seseorang peragut itu tidak mempunyai niat untuk meragut tetapi jika mangsa sendiri yang mendedahkan barangan berharga seperti emas,beg tangan dan seumpamanya, maka peragut ini pun terliurlah. Itu yang berlakunya kejadian ragut.


LEE

Emm, kata-kata kamu memang ada benarnya. Seeloknya kita juga kena berjaga-jaga disamping pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan dalam negara.


KUMAR

Namun,jika keselamatan dalam negara kita setingi mana sekalipun tetapi kita sendiri masih berlagak dan menunjuk-nunjuk barangan berharga kita, susah pihak berkuasa nak membendung kes ragut ini.


LEE

Tak sangka saya dapat pengetahuan berguna tentang kes ragut ini dari kamu. Terima kasih.


KUMAR

Eh, tak perlu berterima kasih kepada saya. Ini tugas saya untuk menyedarkan orang ramai betapa pentingnya kita berjaga-jaga dengan keadaan disekeliling kita.


LEE

Saya tahu. Baiklah, saya perlu beritahu isteri saya.

(BERSELOROH)Nanti dia pula yang jadi mangsa ragut yang seterusnya.


KUMAR

(KETAWA KECIL) Jangan kamu memukul peragut itu sampai mati sudah.


LEE

Saya tahu. Bak kata kamu sebentar tadi, jangan letakkan undang-undang di atas bahu kita, betul tak?


KUMAR

Ya, memang tepat sekali.



BIASA SAJA

1 ulasan: