04 Ogos 2010

(CERPEN) CAHAYA LILINKU



Ramai yang menyangka, hidup manusia ibarat saat dan waktu yang tiada perhentiannya. Akan berjalan tanpa sebarang lengah dan akan terus berdetik tanpa sebarang helah. Namun kurang yang menyedari tentang asal wujudnya bekalan pengetahuan yang dibawa oleh seseorang manusia untuk menempuh sata-saat kehidupan yang mendatang.
Kurang juga manusia yang celik terhadap cahaya lilin…cahaya lilin yang memandu manusia buat pertama kali dalam mengenal ilmu dan pengetahuan. Tanpa cahaya tersebut - ramai yang tercicir, tersasar dan mengalami kepayahan dalam mencari arah tujuan. Aku…aku pula sudah pasti baru menyedari bahawa cahaya lilin itulah yang mempersiapkan aku sebagai manusia yang mampu berdiri dan kadangkala sebagai manusia yang terjatuh, namun bangun kembali kerana itulah yang diajarkan oleh cahaya lilinku. Walaupun kecil secara luarannya, hakikatnya cahaya lilinku tidak terkira besarnya, tiada terbanding luas jasanya. Inilah cerita aku, tentang cahaya lilinku.
Masih terkenang dalam ingatanku, guru akan masuk ke dalam kelas dalam keadaan yang agak tergesa-gesa. Seperti banyak kerja lain yang dilakukannya sebelum datang ke sekolah. Di awal persekolahan, aku masih mentah dalam memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar. Oleh itu aku terus sahaja mengikuti arahan guru-guruku. Dalam tempoh tersebut, aku terpaksa menghafal, terpaksa belajar untuk mematuhi masa dan membiasakan diri dengan sikap membaca. Semuanya adalah kerana rakan-rakan ku yang lain melakukan perkara yang sama.
Namun, selalunya aku akan berada dalam kelas bersama angan-anganku ketika guruku mengajar di hadapan. Pernah terdetik dalam hati aku, bilalah aku akan jadi dewasa dan tidak perlu memikirkan soal peperiksaan. Setiap hari aku terfikir apakah fungsi gred dan markah peperiksaan jika aku pun boleh jawab soalan peperiksaan tanpa pergi ke kelas. Dengan hanya membaca buku rujukan sahaja. Tidak perlu guru-guru yang mengajar aku bersusah-payah datang ke kelas untuk mengajar. Sekurang-kurangnya itulah yang aku fikirkan pada waktu itu.
Kawan : Wei, pening la aku nak selesaikan soalan kira-kira ni.
Aku : Aku pun pening jugak. Dah la soalan-soalan yang cikgu bagi tak semua ada kaitan dengan soalan yang dia bagi. Aduiii…
Kawan : Tau tak pa!
Pernah satu ketika, sewaktu aku dimarahi oleh guruku kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, aku memasamkan muka. Kadangkala terdetik dalam hati aku untuk menyuruh guru tersebut untuk kembali menjadi pelajar seperti aku. Namun semua itu aku pendamkan, walaupun aku tahu agak sukar untuk aku terima teguran dari guruku tersebut. Aku sedar dan aku pasti ramai pelajar seperti aku, akan mempersoalkan tindakan guru. Tidak kira sama ada benar ataupun sebaliknya.
Sampai satu peringkat, aku pasti akan mempersoalkan dan memperlekehkan secara diam tentang tindakan guru ketika mengajar di hadapanku. Sehingga aku terbayang dialog berikut dalam kelas ketika guru sedang mengajar :
Guru : Mengapa kamu tak hantar kerja sekolah? Macam mana kamu nak pandai…
Aku : Kalau saya hantar pun belum tentu saya pandai.
Guru : Kenapa kamu cakap begitu?
Aku : Sebab zaman dulu, tak wujud pun buku dan alat tulis. Tapi masih lagi orang zaman dulu boleh jadi pandai. Lagipun saya tak pernah dengar orang akan pandai kalau hantar kerja sekolah. Pandai sangat pun tak boleh…
Guru : Sebabnya?
Aku : Sebab sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua…
Namun itu semua khayalanku sahaja. Dalam sepanjang tempoh aku bergelar sebagai pelajar, aku pernah merasai pengalaman belajar dibawah tunjuk ajar seorang guru yang cukup perlahan kotak suaranya. Ada rakan-rakanku yang tidak mempedulikan apa yang diajarkan. Termasuklah aku. Ada yang dibuai mimpi dan ada yang berkhayal. Hanya apabila ditanya oleh guru tersebut sama ada kami faham atau tidak, maka aku dan rakan-rakanku yang lain akan menjawab “ faham”.
Kawan : (sambil menguap) Apa yang ustaz tu ajar? Aku tak dengarlah.
Aku : (Nada mengantuk) Tak tahulah. Fahamkan sahaja kalau dia tanya.
Kawan : Betul jugak.
Aku : Kalau macam ini lah dia mengajar, jawabnya susah kita nak dapat A.
Kawan : Tak payah risau, baca buku pun dah boleh dapat A. Cuma tunggu soalan ‘spot’ saja.
Pada waktu itu, aku tidak mengenal apa erti kejayaan. Aku buta dalam memahami hikmah wujudnya hadiah bagi pelajar yang mendapat tempat terbaik dalam keputusan peperiksaan. Apa yang membayangi fikiranku adalah sama ada aku akan mendapat kerja yang hebat, gaji yang hebat dan kedudukan yang hebat. Aku juga tidak sabar untuk berlagak seperti seorang dewasa. Dapat berjalan bersama keluarga dan insan yang tersayang. Pada waktu itu, aku menyangka nafsu adalah guruku.
Kawan : Jom keluar malam ni nak tak?
Aku : Keluar? Gila kot, seminggu lagi nak exam.
Kawan : Apa yang gilanya? Study sekarang macam boleh ingat, macam boleh jawab soalan exam dengan betul. Tiru macam aku, study smart don’t study hard. Esoknya nak exam, bangun pagi baru baca buku. Ilmu tu fresh lagi.
Aku : oh, kalau macam tu aku ok sangat la.
Peperiksaan tinggal lagi seminggu. Namun aku masih diulit kesenangan dengan keluar pergi ke cyber café. Segala wang ringgit yang dikirim oleh keluargaku, semuanya disedekahkan kepada pemilik kedai cyber café tersebut. Akibat sudah terbiasa dengan tabiat tersebut, setiap kali selepas satu jam aku membaca, pasti aku akan ke cyber café.
Sedang aku asyik dalam bermain permainan komputer, tanpa aku sedari rupa-rupanya terdapat serbuan dilakukan oleh pihak polis. Aku panik. Aku cuba mencari jalan keluar namun tidak berjaya. Akibatnya aku dibawa ke balai polis dan diminta untuk menunggu penjaga aku untuk datang. Disebabkan aku menetap di asrama, keluar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan. Tambahan pula, penjaga yang dimaksudkan oleh polis adalah guruku sendiri iaitu Ustaz Halim.
Pada pagi keesokan harinya, dalam perhimpunan namaku dipanggil. Aku dipanggil untuk berdiri di hadapan. Aku diminta berdiri sehingga selesai perhimpunan tersebut. Perasaan malu menyelubungi jiwa dan mataku. Aku tak mampu melihat pemandangan di hadapanku yang dipenuhi dengan pelajar-pelajar lain termasuklah pelajar perempuan. Mereka berpandangan antara satu sama lain seperti tidak mengerti apa yang berlaku.
Kemudian, giliran Ustaz Halim berucap. Sedang aku asyik dalam melayan perasaan malu yang tidak terhingga, aku tersentak mendengar pengumuman oleh Ustaz Halim.
Ustaz Halim : Pelajar di hadapan kamu semua adalah pengajaran bagi kamu. Jangan bertindak sepertinya, sampai jadi kes polis. Inilah masalahnya jika disiplin tak diikuti….
Aku tak sempat untuk ingat keseluruhan ayatnya. Pada waktu itu aku lihat ramai pelajar yang berada di hadapan ku menggelengkan kepala. Perasaan malu aku bertukar menjadi geram. Hatiku berbisik menyatakan aku tidak bersalah kerana bukannya aku tahu cyber café tersebut akan diserbu oleh pihak polis. Aku juga manusia, melakukan kesilapan adalah sikap semulajadi aku.
Paaap!
Bunyi rotan memecahkan kesunyian di perhimpunan tersebut. Aku menahan kesakitan dengan mengalirkan air mata. Bergenang air mata ku sambil aku menggenggam erat jari-jemari ku. Selesai sahaja proses hukuman terhadap aku, aku terus meninggalkan perhimpunan dan keluar dari sekolah tersebut tanpa rasa bersalah. Aku tidak menoleh ke belakang walupun seketika, tapi aku terdengar nama aku disebut berulang-kali. Aku pernah sempat menconteng di dinding bilik guru dengan ayat :
TUGAS GURU ADALAH MENDIDIK DAN BUKAN MENGHUKUM!
Itulah tahun terakhir aku di sekolah tersebut. Pada tahun berikutnya, aku melanjutkan sesi persekolahan di sekolah lain. Keputusan peperiksaan aku di sekolah lama tidak begitu memuaskan. Aku menyalahkan Ustaz Halim atas segala yang berlaku di sekolah lama aku. Aku menyandarkan kegagalan aku dalam peperiksaan atas sebab hilang fokus kerana dimalukan oleh guru yang sepatutnya mendidik aku dan bukan menghukum aku. Itulah yang aku fikirkan.
Aku mulakan sesi persekolahan di sekolah baru dalam keadaan yang baik. Bahkan aku pun tidak pasti dari mana ibu dan bapa ku dapat masukkan aku ke sekolah baru yang terkenal dengan pencapaian yang baik dalam peperiksaan. Aku hanya tahu ibu dan bapaku berjaya memperoleh surat sokongan untuk masukkan aku ke dalam sekolah tersebut. Bahkan ketika aku mula-mula masuk ke sekolah tersebut, Pengetua memberi layanan yang baik kepada aku.
Pada mulanya aku tidak yakin bahawa aku akan bertahan lama di sekolah baru kerana menyangka ramai pelajar pandai dalam sekolah ini. Bahkan aku mendaftar masuk ke sekolah tersebut sewaktu ujian awal tahun sedang dilakukan. Aku belum pun sempat belajar, esoknya sudah ada ujian. Aku cuba motivasikan diriku untuk menjawab ujian berdasarkan pengetahuan yang ada.
Tanpa aku sangka, keputusan ujian awal tahun meletakkan aku dalam kumpulan pelajar yang diberi perhatian. Bukan kerana gagal tetapi kerana jawapan yang aku berikan adalah memuaskan sedangkan aku belum lagi mula belajar. Pernah beberapa kali aku pergi menemui guru kelas aku, bertanyakan sama ada keputusan ujian tersebut adalah muktamad atau tidak?
Aku : Cikgu, keputusan ni muktamad ke?
Guru Kelas : (Tersenyum) Tahniah. Tak sangka kamu ada potensi.
Aku : Tapi saya bukan budak pandai dan bukan ulat buku…
Guru Kelas : (Tersenyum) Kejayaan itu bukan terletak pada pembacaan dan sifat semulajadi tapi terletak pada keinginan kita.
Itulah yang masih terbayang dalam ingatanku. Sejak pada hari itu, aku sering mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Keadaaan persekitaran juga membantuku dalam mengekalkan prestasi dalam pelajaran. Rupa-rupanya apabila kita berada dalam keadaan yang dikategorikan sebagai ‘budak pandai’, tidak ramai yang mengajak untuk melakukan kesalahan. Namun, apabila aku fikirkan kembali, aku sebenarnya bukanlah budak pandai. Cuma aku sudah tahu beberapa pengetahuan disebabkan pengalaman yang lalu di sekolah lama. Dipaksa untuk menghafal dan mengulangkaji pelajaran sehingga cara ulangkaji aku tidak berganjak dari cara menghafal.
Aku bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, bahkan aku memegang beberapa jawatan penting dalam badan beruniform dan persatuan-persatuan yang lain di sekolah baru. Berbeza sungguh dengan keadaanku di sekolah lama.
Guru Kelas : Ingat, jangan lupakan asal-usul kamu. Bila kamu keluar menempuh alam Universiti dan kerjaya, ingatlah tapak kamu bermula.
Aku : Saya tahu cikgu.
Itulah amanat guru kelas aku yang terkahir di hari terakhir aku di sekolah. Kini aku di Universiti belajar dalam keadaan yang selesa. Mengetahui baik dan buruk suatu tindakan. Semuanya kerana pengalaman yang lama. Pada masa inilah terbayang kembali kisah hidupku yang lalu di sekolah lama. Lalu aku ambil keputusan untuk kembali ke sekolah lama. Sekadar untuk melawat.
Banyak perubahan yang aku lihat di sekolah lama. Namun tapak perhimpunan masih lagi sama seperti dulu. Terngiang-ngiang dalam fikiran aku tentang kejadian aku dirotan oleh Ustaz Halim. Aku ketawa sendirian. Tiba-tiba aku terlepas perkataan Ustaz Halim, sedangkan pada waktu itu ada seorang guru sedang berjalan di situ.
Guru : err, maaf encik. Saya bukan Ustaz Halim.
Aku : Saya tahu. Cuma terlepas cakap tadi. Bukan apa, saya teringat kembali kenangan dulu di tapak perhimpunan di sini.
Guru : Oh. Maksudnya encik ni bekas pelajar sekolah ni kan? Saya pun bekas pelajar sekolah ni jugak tapi sekarang bertugas sebagai guru di sini.
Aku : Tahniah. Bukan senang saya nak jumpa manusia yang ingin teruskan tugas berat ini.
Guru : (Tersenyum) Itulah. Kalau tak saya, siapa lagi. Apa yang buat encik terfikirkan tentang kenangan di perhimpunan ni?
Aku : (Ketawa) Cerita lama. Tapi itulah yang mengajar saya supaya berhati-hati dalam sebarang tindakan. Kadang-kadang kita bertindak tanpa berfikir panjang.
Guru : Oh begitu. Saya kenal dengan Ustaz Halim tu. Dia selalu cerita pasal seorang bekas pelajarnya. Dialah yang membantu pelajr tersebut untuk masuk ke sekolah asrama penuh. Dia selalu ceritakan kepada saya pelajar tersebut bermula dari bawah untuk berjaya. Dia nak sangat berjumpa dengan pelajar tersebut.
Aku : Ustaz Halim memang begitu. Contohnya saya, kalau tak kerana dia merotan saya di perhimpunan suatu ketika dulu, sudah pasti saya masih lalai dengan cyber café. Banyak yang guru disini ajarkan kepada saya walaupun pada waktu itu saya tak sedar semua ini.
Guru : Saya setuju. Sekarang baru saya tahu kegunaan ilmu yang saya belajar dulu. (PAUSE) Encik ni belajar lagi?
Aku : Ya, tahun akhir di Universiti. (PAUSE) Err, Ustaz Halim sihat?
Guru : Encik tak tahu ke?
Aku : Tahu apa?
Guru : Tidak mengapa. Nanti ikut saya ke rumah Ustaz Halim.
Aku tertanya-tanya apa yang disembunyikan oleh guru tersebut. Aku pun mengikutnya ke bilik guru terlebih dahulu. Guru tersebut mengemas barang-barangnya. Tempat guru tersebut sama seperti tempat Ustaz Halim. Aku melihat keadaan dalam bilik guru tersebut. Keadaanya sedikit berubah dengan warna dinding yang baru. Cuma terdapat satu dinding yang tidak dicatkan.
Aku : Cikgu, kenapa dinding tu masih tidak bercat.
Guru : Oh, itu permintaan Ustaz Halim sebelum dia bersara.
Aku : Ustaz Halim dah bersara rupanya.
Guru : Baru setahun selepas dia mengadu sakit.
Aku : Sakit apa?
Guru : Biasalah, sakit tua.
Aku : Setahu saya, dinding itu ada tertera ayat "TUGAS GURU ADALAH MENDIDIK DAN BUKAN MENGHUKUM!"
Guru : Macam mana encik tahu?
Aku : (Tersenyum) Sebab saya yang conteng…
Guru tersebut memandang aku seperti terkejut dengan pengakuan aku yang menconteng dinding tersebut. Aku rasa bersalah kerana terlepas cakap. Guru tersebut meneruskan kerja mengemas barang-barangnya. Selepas selesai mengemas, guru tersebut duduk di sebelah aku. Sambil membawa sepucuk surat.
Guru : Encik, sungguhpun saya tak tahu siapa nama pelajar yang dimaksudkan Ustaz Halim. Tapi saya yakin enciklah pelajar yang dimaksudkan oleh Ustaz Halim. Bacalah surat ini.
Aku mengambil surat tersebut dan membacanya.
Assalamualaikum,
Pertama sekali, Ustaz mohon maaf atas kesilapan yang Ustaz lakukan atas kamu. Ustaz tiada niat untuk menghukum kamu, ustaz hanya nak kamu sedar supaya jangan mengulangi kesilapan yang sama. Barangkali tindakan Ustaz terlalu memalukan bagi kamu.
Ustaz yakin kamu akan berjaya apabila kamu sedar kepentingan ilmu dan pengetahuan yang kamu pelajari di sini. Ingatlah, sesungguhnya Ustaz dan guru-guru yang lain sentiasa mendoakan kejayaan kamu.
Tugas guru adalah mendidik dan tugas pelajar adalah mengamalkannya. Jadikan pengalaman dan kelemahan yang kamu alami sebelum ini sebagai kekuatan kamu. Melihat kamu berjaya adalah permintaan terakhir Ustaz. Barangkali Allah hanya izinkan Ustaz untuk melihat kamu ingin berjaya, namun itu sudah cukup bagi ustaz dan guru-guru yang lain. Kami tidak harapkan balasan kamu kepada kami tetapi kami harapkan kamu memberi balasannya ke generasi seterusnya. Selamat berjaya anakku.
Yang ikhlas,
Ustaz Halim
Aku membaca surat tersebut dengan hati yang berat. Segala kata-kata buruk yang aku ungkapkan kepada Ustaz Halim hilang begitu sahaja. Aku mula sedar bahawa tiada guna aku menyimpan dendam terhadap guru yang menjalankan tanggungjawabnya untuk mendidik aku. Dalam masa yang sama, guru tersebut mundar-mandir seperti tergesa-gesa.
Aku : Cikgu ada hal lain ke?
Guru : Tak adalah. Cuma saya takut hujan. Tak sempat nak melawat Ustaz Halim.
Aku : Eloklah kita gerak dulu. Saya nak mohon maaf kepada Ustaz Halim.
Aku mengiyakan sahaja kata-kata guru tersebut. Kami berdua menaiki kereta ke destinasi yang ingin dituju oleh guru tersebut. Entah kenapa pada waktu itu aku rasa ingin meminta maaf kepada Ustaz Halim. Terasa banyak kesalahan yang aku telah lakukan kepada Ustaz Halim. Guru tersebut tidak banyak berkata-kata seperti sebelum ini. Seakan-akan guru tersebut hanya fokus dalam pemanduan kereta sahaja. Pada masa yang sama guru tersebut menjawab beberapa panggilan telefon. Setiap kali guru tersebut menjawab panggilan telefon, wajahnya pasti berkerut.
Kereta diberhentikan diperkarangan masjid. Guru tersebut keluar dari kereta. Aku mengikutinya dari belakang. Guru tersebut masuk ke dalam masjid sambil menunaikan solat sunat. Tidak pasti solat sunat apa yang dilakukan oleh guru tersebut. Aku menunggunya di luar. Selang beberapa minit, guru tersebut keluar dari masjid dengan wajah yang kemerahan seperti sedang mengalami kesedihan. Aku tak menegurnya kerana tidak mahu mengganggu emosinya.
Guru tersebut kemudiannya memberitahuku bahawa Ustaz Halim baru sahaja menghembus nafas yang terakhir sewaktu aku sedang leka membaca surat yang ditulis Ustaz Halim. Tubuh aku menggeletar seperti darah gemuruh datang melanda. Lututku terasa lemah. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Guru tersebut memberitahuku bahawa aku adalah pelajar yang ustaz selalu sebut-sebutkan.
Namun aku pula selalu ingin lupakan nama dan jasanya. Aku tak sempat bersua-muka dengannya. Bahkan hanya wajah sewaktu dia merotanku sahaja yang aku ingat. Itulah kali terakhir aku bertemu dengannya. Suratnya adalah pertemuan terakhirku dengannya. Kelu lidahku kerana baru sahaja terdetik untuk mohon kepada guruku supaya menghalalkan ilmu yang diajarkan kepadaku. Hatiku sukar untuk mempercayai bahawa aku tidak sempat memohon maaf kepada guruku, Ustaz Halim merangkap cahaya lilinku.
Terima kasih cahaya lilinku, kerana memberi panduan untuk mencari jalan keluar dalam gelita. Pengorbananmu ibarat pelita malam yang menerangi kehidupan. Tanpamu megah aku berjalan dalam kejahilan, rebah aku tersungkur dalam pengetahuan. Jasamu tidak terukur nilainya, tidak ternilai ukurannya. Kerana kaulah cahaya lilinku, menerangi aku dan anak bangsaku.
ALFATIHAH

Tiada ulasan: