20 September 2010

Sambutan Soum & Eid 2010

Salam buat semua pembaca, tidak kira yang tua mahupun muda, tiada beza antara majnun dan laila dan bukan satu alasan antara sang pujangga dan si pendamba untuk melarang mata untuk melirik ke arah setiap kata-kata yang difahami. Masih belum terlewat untuk aku ucapkan SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR dan BATIN. Pastinya ramai antara kita punyai cerita tersendiri disebalik perayaan hari raya dan sambutan bulan puasa pada tahun ini. Tanpa aku membataskan cerita yang ceria semata-mata, pasti juga ada cerita-cerita suram yang menghiasi aidilfitri tahun ini.

Namun, atas kapasiti pentadbir (admin) blog peribadi Naufal Tarmizi, maka cerita kali ini adalah acuan dari kacamata Naufal Tarmizi, insan sekecil kedidi yang banyak bermimpi untuk menjadi sebesar rajawali.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya aku merasai dan mengikuti pengorbanan ibu bapaku dalam mencari nafkah hidup aku dan adik2ku yang lain. Ia bermula di saat Ramadhan datang menemui umat manusia, tika syaitan disangka diikat, sewaktu nafsu diseksa nistanya. Bapaku, seorang pendakwah bebas, melaksanakan tanggungjawabnya sebagai daei setiap hari dibulan Mubarak tersebut tanpa terkurang walau sehari, tanpa terjeda walau minima tiga kuliah dilewati setiap hari.

Ibuku, seorang ustazah di sekolah agama rakyat, membantu bapaku dalam menguruskan perniagaan di saat kuliah bapaku berlangsung. Perniagaan yang bermodalkan beberapa keping wang kertas -bernot ringgit malaysia-, adalah pengorbanan yang akan ku teraskan sebagai cerita pengalamanku kali ini. Terdapat pelbagai suka dan duka disebalik perniagaan tersebut.

Aku hanya mampu untuk membantu keluargaku dalam berniaga pada hari jumaat, sabtu dan ahad sahaja. Pun begitu, aku sangat pasti bahwa bukan mudah untuk berdiri tegak seperti ibuku dan berkering tekak seperti bapaku. Aku membantu dalam menjual beberapa barangan kering seperti sepat ronggeng, ikan masin (segar dibalut dalam kotak kiub putih kedap haba), telur masin (buatan Imam Masjid Malim Nawar) dan beberapa minuman dari negara Arab. Alhamdulillah, hasilnya lumayan. Barangkali rezeki untuk adikku di Mesir.

Untuk pengetahuan, perniagaan ini telah dijalankan oleh keluargaku semenjak adikku (Nihal) melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti al-Azhar. Kos yurannya adalah USD8000, bersamaan RM28 ribu+++, belum termasuk kos sara hidup. Adikku melanjutkan pelajaran ke timur tengah atas tiket Y2G (yayasan generasi gemilang) anjuran UMNO dengan kerjasama MAIWP. Walaupun begitu, syaratnya adalah tahun pertama adikku di Mesir adalah ditanggung sendiri oleh keluarga. Setelah masa sudah berganjak, adikku kini dah memasuki Tahun kedua pada bulan September ini.

Namun, Y2G sudah 'berkubur'. Kesemua ahli2 penaja sudah 'bertempiaran lari' walaupun pelajar2 dibawah tajaan Y2G bersemangat 'kerajaan' selepas dihantar ke BTN. Dikatakan bahawa MAIWP dan beberapa pihak telah menghulurkan bantuan kewangan kepada Y2G untuk disalurkan kepada pelajar tajaan mereka, namun wang tersebut telah lesap. Bahkan ketika ibubapa pelajar tersebut berjumpa dengan Dato' Jamil Khir bagi menjelaskan tentang kedudukan MAIWP dalam tajaan ini, Menteri tersebut menyalahkan pula pelajar tersebut kerana pergi ke Mesir tanpa pengetahuan MAIWP dan tanpa gred yang cemerlang (tidak layak). Ironinya, bukankah wakil MAIWP juga hadir dalam majlis anjuran Y2G sebelum berlepas ke Mesir dan apakah 10A1 merupakan gred rendah dalam SPM?

Biarkan kontroversi 'tersirat' ini berlalu. Ia tidak tersiar di dada akhbar kerana tiada nilai komersil bagi sang pendabik dada. Namun, keesokan harinya, bapaku memberi tazkirah sebelum solat jumaat di masjid angkasapuri. Di pengakhiran tazkirah, bapaku mempelawa jemaah untuk membeli barangan yang ibuku dan adik2ku jual di perkarangan masjid. Bapaku sempat menyatakan bahawa hasil jualan ini adalah untuk menampung keperluan dan kelengkapan adikku di Mesir.

Selepas tamatnya tazkirah, bapaku melabuhkan dirinya untuk duduk di satu sudut di masjid tersebut sementara menantikan masuknya waktu solat jumaat. Tanpa disedari oleh bapaku, bahu bapa ku tergesel dengan bahu seorang hamba Allah. Hamba Allah tersebut menghulurkan wang sebagai sumbangan untuk adikku di Mesir.

"Terima kasih, abang..." bapaku segera membalas. Hamba Allah, memiliki suara serak dan berambut panjang, menghulurkan sumbangan tersebut kerana beliau mendengar tazkirah yang disampaikan oleh bapaku sebentar tadi. Hamba Allah yang aku maksudkan adalah papa rock iaitu Ramli Sarip. Moga Allah memanjangkan usianya dalam rahmatNya.

Bukan itu sahaja, aku juga merasai keperitan pengorbanan ini saat menjalankan urusan perniagaan ini. Pernah sekali sekujur tubuh warga emas datang untuk menampar mukaku ketika bapaku sedang memberi kuliah di sebuah surau. Pernah juga yang memaki hamun aku dan bapaku ketika bapaku memberi tazkirah selepas solat tarawih. Bukan itu sahaja, ada juga yang mempertikaikan dalil al-Quran berkenaan kewajiban untuk berjihad. Katanya ustaz lain tidak pernah sentuh soal tersebut. Apakah Melayu kita sudah cukup mantap untuk menganggap cukup sekadar apa yang diungkap dari mulut ustaz tanpa membelek keseluruhan al-Quran?

Apapun, tiap hela nafas bapaku, ibuku, adik2ku yang membantu dan aku yang cuba membantu pasti akan dibayar dengan tanggungjawab yang akan dipikul oleh adikku di Mesir selepas pulang ke Malaysia nanti. Aku terkesan dengan kata-kata bapaku kepada aku dan adik2ku,

"Baba nak anak2 baba pandai berhujah dan berceramah walau nak jadi apa pun nanti..."

-------------------------------

Hari Raya tahun ini pula disambut seperti biasa. Aku dan keluargaku beraya di Kedah. Bezanya adalah tok (perempuan) yang awal tahun mampu berjalan, kini tidak mempu berjalan. Katanya buatan orang kerana tok aku rasa sakit2 antara jam 2 pagi hingga 5pagi. Emmm, ada had masa pulak tu. Dengar kata, 'benda' tu ditanam di tempat pokok sawa depan rumah tok aku. Eii, macam2...

Raya tahun ini juga adalah satu yang tidak seronok jika berdasarkan pendapat adikku (Nasuha @ wawa) kerana terpaksa menjalani UPSR selepas pulang dari kampung. Aku hanya mampu tergelak sambil ibu jari ku terangkat. haha...thumbs up!

Rasanya, untuk ulasan lanjut, elok benarlah aku gambarkan melalui gambar dibawah. Kredit untuk adikku (nawal @ botek)...hehe.

Rumah yang kami tumpang di bangi sewaktu dibulan puasa
Nawal & Nauwar Tarmizi... SPM dan PMR tahun ni...
Pak Tam dan Aku di rumah Pak Long di Teloi
Nawal, Baba dan Tok aku...
Nabil dan Botek...HAHA
Dari kiri : Botek. Wawa, Baba, Cebah, Tok, Tok Wan, Mama & Nawat
Gambar kenangan Nihal Tarmizi sebelum berlepas ke Mesir.

PEMBERI REZEKI ADALAH ALLAH
BUKAN MANUSIA MAHUPUN SANG PENDUSTA
AFA BIAYYI ALAA-I RABBIKUMA TUKAZZIBAN

1 ulasan:

Pustaka NurIman berkata...

salam, mgkn boleh fikirkan utk berniaga buku