18 Oktober 2011

Selamat Jalan Dunia Femes...

Tajuk post kali ni ala-ala 'Selamat Jalan Dunia Pondan' gitew...haha... Dunia Femes yang aku maksudkan nie adalah merangkumi bidang pengacaraan dan lakonan, walaupun aku tak lah bertapak dalam dunia femes yang 'sebenar' atau yang orang-orang kampung panggil dunia artis...Sekadar picisan tu ada lah...

Kenapa aku ambil keputusan untuk undur diri? Sebabnya da puas... Lakonan sebagai contoh. Aku mula berlakon atas pentas sejak umur aku 13 tahun. Perlu diingat, berlakon atas pentas dan BUKAN BERLAKON DALAM TV. Sehingga pada tahun 2011, aku akhirnya berjaya merangkul Pelakon Lelaki Terbaik Karnivel Teater UM 2011. Walaupun aku harapkan hadiahnya adalah duit, tapi bersyukur jela dapat sijil n piala lutsinar tu...hurm... Kiranya selepas 9-10 tahun bergelumang dengan dunia 'kepura-puraan', dari watak komedi bertukar watak yang menangis, aku mula ikat kasut aku...maksudnya, aku malas nak join da benda-benda ni...

Pengacara Majlis pulak, aku ambil keputusan untuk undur diri bukan kerana aku terkesima dengan bakat yang ada sewaktu aku pergi Kursus Pengacaraan Majlis...TIDAK SAMA SEKALI...haha... Ironinya, aku ambil keputusan ini setelah aku terfikir bahawa aku dah puas menikmati wang yang aku terima hasil daripada bidang ini. Pertama kali aku dapat bayaran adalah semasa menjadi moderator dalam forum Azwan Ali di UKM. Walaupun RM100, cukuplah untuk belanja makan n isi minyak motor kawan2 yang ikut sekali. Kemudian dapat RM500 untuk Pengacara Majlis bagi Majlis MoU Syarikat koperat. Yang paling mahal aku pernah dapat adalah RM2000, sewaktu menjadi co-host makan malam bersama dengan Sarimah Ibrahim...


Walaupun Aznil Hj Nawawi semasa Festival Tari Kanak-Kanak 2009 katakan yang dulu dia pernah seperti aku semasa di UM, walaupun Azwan Hj Ali pesan "Dik, kalau dah jadi Azwan Ali, jangan lupa Azwan Ali yerk"(klik link ini) dan walaupun Sarimah Ibrahim tanya pada aku sama ada aku serius untuk masuk industri artis (klik link ini)---dengan hati yang berat--aku rasa cukup sekadar ini. Bosan walaupun aku hampir menjadi MC FESENI dan direject atas sebab aku xdikenali masa itu sehari sebelum FESENI bermula---dan masih mengimpikan utk jadi MC FESENI---again its enough for me...





Lagipun aku mahu buat banyak benda yang lain. Menyanyi sudah (masa sekolah menengah), berlakon dan mengacara sudah. Sekarang aku nak tumpu pada penulisan. Dunia yang lebih tajam dari bilahan pedang samurai, lebih berkilau dari nilai permata dan lebih luas dari lautan nyata...

SERONOK BILA KITA MAMPU BELAJAR SUATU YANG BARU
KAU MAMPU?

30 Julai 2011

Aku Peminat City Hunter! (KDrama)

Mungkin ramai yang singgah ke laman blog aku ni akan tersedar bahawa aku ni peminat JDrama, walaupun tak la se'obvious' mana. Jika dulu aku pernah postkan beberapa maklumat dan gambar berkenaan dengan pelakon Jepun kegemaran aku yakni Hiro Mizushima, sekarang minat aku tetiba beralih dari drama Jepun ke satu produksi terbaikkk dari Korea. Secara jujurnya, aku memang xminat Kpop (apatahlagi Mpop ---AISKRIMpop terkecuali--) dan memandang 'hina' pada kemampuan drama Korea. Namun produksi ini membuatkan keghairahan aku menulis skrip datang kembali, kegirangan aku untuk berlakon membuak kembali dan secara jujurnya, aku juga cemburu dengan pengolah karya Tsukasa Hojo ini.

Bahkan drama ni membuatkan aku tercari-cari KDrama yang lain. Tahniah aku ucapkan kepada produksi ni walaupun aku yakin xde krew produksi ni yg faham bahasa yg aku coretkan. Walaupun karya ini berasal dari orang Jepun, namun melalui sentuhan dari Wang Eun-Kyung dan Choi Soo-Jin, olahan cerita manga ini berjaya diterjemahkan dengan terbaikkknya ke dalam satu naskhah penceritaan. Malas komen panjang, kalo nak tengok online cerita ni, klik Kimci Drama n cari sendri cerita yg bertajuk City Hunter.

Yang bestnyer, drama ni baru je habis, kiranya drama baru tahun 2011 la. Fresh lagi...
Berikut antara lagu background atau OST yang telah menghantui fikiran aku semasa n selepas tengok City Hunter :


 
Instrumental jer.... Lagu penuh kat bawah....

 Penyanyi : Yim Jae Bum...

Ada gak lagu yang agak catchy sikit macam kat bawah ni...
 
Nyanyian dari grup Girl's Day
 p/s : Sangat suka dengan lakonan Lee Min-Ho... BTW, Hiro Mizushima da retired dari dunia lakonan sebab skang ni dia dah jadi penulis sepenuh masa. (karya pertamanya adalah Kaegerou)...

TAHNIAH SEBAB MEMBUKA MATA AKU UNTUK MENILAI KARYA DARI KOREA

04 Mei 2011

Secara Fiqhnya : Aku memang bertunang... Tapi tidak jika ikut adat....

Isu aku bertunang sebenarnya bermula selepas aku ambil sijil STPM di KISAS. Aku tak menafikan bahawa bertunang di Malaysia ditunjukkan melalui rombongan peminangan. Mungkin ada yang bagai nak rak.... last2 tak jugak kawen...sbb tu Nabi kata: “Rahsiakan pertunangan dan war-warkan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad)

Aku tak nak cakap banyak... jom kita lihat pandangan syara' :-


AKU MELAYU
MAKA AKU TAK BERTUNANG LAGI

Mimpi Sang Pendeta

Alkisah sang pendeta mengembara dari negeri 'atas angin' turun ke negeri 'bawah angin'. Dibawanya sekali gempulan mimpi sebagai bekal di negeri orang. Mimpinya tiada tara bandingan... Itupun jika ingin dibandingkan ia dengan silibus sang jubah hitam di kandang saksi... Nekadnya tiada terlawan lagi. Lantas sang pendeta memunculkan dirinya di negeri 'bawah angin'. Bilangnya "aku sudah biasa dengan angin...negeri ini milik sang perawan durja, harus aku hapuskan kedurjaannya dengan bekal-ku..."

Dampak dari nekad sang pendeta menyebabkan seluruh jelata terkesima. Lalu diteruskan madahnya oleh sang pendeta, "Sang Durja itu pasti durjanya... Aku sendiri menyaksikan kedurjaan Sang Durja itu dari jauh. Percayalah kerana aku sang Pendeta...". Sekalian mata jelata tidak mengerlip tika mendengar setiap baris kata sang Pendeta...walaupun boleh sahaja kelopak mata jelata memberi laluan kepada gegendang telinga menjalankan fungsinya. Melihat kepada reaksi sekalian jelata, sang Pendeta tampak lebih semangat. Sudah pasti atmanya berbisik riang mendendangkan orkestra"Welcome Aboard".

Dalam halusinasi keriangan sang pendita, terdengar suara di celahan sekalian jelata melemparkan persoalan... "Sang Pendeta, apakah bukti sang Durja itu bersifat durja?". Soalan itu terus berdesing singgah ke gelendangan cuping telinga sang pendita. Berkumat-kamit mulutnya mencari jawapan. Dadanya berombak, fikirannya mula gelojak. Lalu, Sang Pendeta bingkas bangun dan berkata :

"Di Negeri Atas Angin, terdapat satu sahaja cara untuk mensabitkan petani sebagai pencuri, menabalkan pencuri sebagai pematuh dikri, melantik buruh sebagai pembunuh dan menjadikan pembunuh sebagai seorang TOKOH... kerna aku juga adalah insan yang ditabalkan Pendeta melalui cara ini..."

Sekalian jelata berpandangan, setiap lirikan mata jelata berpaksikan hairan. Setelah dalam alam kehairanan, sang jelata memandang semula kepada Sang Pendeta yang masih mengurut dagunya dan masih dadanya didabik... Sang Pendeta meneruskan kata-kata keramatnya, "Caranya adalah MIMPI"...

Terkebil kornea sekalian jelata, ada yang mengetap bibir sendiri dan ada juga tunduk pasrah kerna menyangka mimpi itu tiada guna. Sekalian jelata hanya menganggukkan kepala kerana hati mereka kuat mengatakan bahawa mereka hanya rakyat bawah angin yang hanya mendengar khabar angin dari negeri atas angin...



MIMPI ITU INDAH
NAMUN TERKADANG HANYA INDAH KHABAR DARI RUPA

01 Mei 2011

Kempen Tak Nak Nasi Lemak?!

Kiranya, ramai menteri atau ahli politik premier tanah air sudah bisa menjengah masalah obesiti rakyat. Barangkali, tahap kerisauan obesiti rakyat di Malaysia dipengaruhi dengan kempen obesiti di Amerika. Maklumlah di Amerika ada McD, Malaysia pun ada. Di Amerika ada KFC, Malaysia pun ada KFC. Apa yang ada di Amerika, mesti ada di Malaysia...cuma 'adult channel' saja belum ada...hehe...

Bezanya, di Amerika didasarkan risaunya tahap obesiti rakyat mereka kerana makanan ringan seperti jajan dan makanan segera/franchais seperti berger dan fries serta segala macam produk yang dijual oleh franchais mega seperti KFC, McD, BergerKing dll... Peliknya di Malaysia, oleh kerana ingin memperlihatkan semangat ketimuran, franchais mega ini diketepikan kerana mungkin tidak melambangkan jatidiri Malaysia... Oleh sebab itu nasi lemak dijadikan sasaran..erm...Melayu la sangat...

Kesian makcik kantin berbangsa melayu, dah tak dapat nak jual nasi lemak kat sekolah... Tapi tak apa makcik, makcik boleh joint venture dengan makcik india n cina, jual tose n kuih bulan di kantin...

AKU DULU MAKAN NASI LEMAK JUGAK TAPI STILL KERING

27 Mac 2011

Dulu Aznil, Kemudian Azwan Ali, Skang Sarimah Ibrahim...

Sudah berkurun blog ni ditinggalkan, tanpa sebarang berita dari pemiliknya. Maklumlah kadang2 bz, kadang2 xde kontroversi dan kadang2 malas tiba2 menjadi-jadi... Maka, kalo aku dah post entri terbaru, meaning that something awesome had happened to me....

Semalam (sabtu---26 Mac 2011), aku ditugaskan menjadi hos dalam sebuah majlis pra-handover projek Kolej Sains yang aku anggap sebagai yang tercanggih dan unik binaannya di Malaysia. Dah terasa bukan kat Malaysia dah. Dewannya saja dah macam dewan Konsert berskala besar. So sapa kata orang melayu tak boleh bina bangunan baguih2...hehe

Semalam jugak aku jadi MC bersama dengan akak Sarimah Ibrahim. Tak percaya? Sila klik link ini ....

Well, memang dia layak dapat pengacara TV terbaik 2010... sebabnya banyak sangat perkara yang dia boleh control semasa handle majlis. Manakala aku, aku hanya ada satu masalah. Aku seperti Jimmy Shinley diatas pentas semasa konsert AF. Tahu kan masalahnye apa? Masalahnya : BILA LA AKU BOLEH BERCAKAP...haha... Dah akak Sarimah banyak celoteh sampai kadang2 aku pun xdapat nak mencelah. Tetapi dengan berbekalkan persediaan secukupnya, aku cuba untuk mengimbangi masalah itu. Hasilnya adalah seperti semalam la.Aku pun xtahu apa hasilnya...


Ok, cukuplah sekadar ini sahaja. Aku nak buat invois ni, esok dapat payment!!!

SOALAN AKAK SARIMAH : 
Serious ke nak masuk dalam bidang Entertaintment ni... 
AKU JAWAB : Sampingan jer...

06 Mac 2011

(CERPEN) Kasih Di Balik Warna

Saat citra cinta memberi senyum tawa kepada hati setiap insan, pasti terselit kisah hadangan yang memberi ikatan kasih pasangan semakin renggang. Bahkan, hadangan itu juga kadangkala mengukuh lagi sejarah cinta insan.

Baihaqi, pemuda sasa yang tangkas berbicara. Pemidato terkenal dalam kalangan pemimpin mahasiswa. Bicaranya tidak becok, hanya diserlahkan tatkala disapa dan ketika ruang bicara diberikan kepadanya. Andai dipersoalkan kepadanya soal kasih dan cinta, sudah tentu senyumnya membebat segala bicara sehingga lidahnya kelu tanpa kata.

Di sisi fikrah yang lain, muncul pula gadis jelita bernama Nusaibah. Pendiam. Tidak banyak butir kata yang membisik halwa telinga. Setiap tindakannya sederhana sahaja. Tidak terlalu ke depan dan tidak pula mundur ke belakang. Jika soal kasih dan cinta yang dititipkan, Nusaibah hanya melafazkan, “Adakah dia sama warna dengan keluargaku?”.

Baihaqi membonceng motosikalnya sambil memecut laju hampir 100km/jam. Kelajuan yang digunakan disulami harapan agar sempat sampai ke kuliah yang seharusnya sudah bermula 10 minit yang lalu. Bukan sengaja dan bukan selalu Baihaqi terlewat ke kuliah. Ini kali pertama. Itupun kerana Baihaqi terpaksa menggantikan rakannya untuk berpidato di sudut pidato.

‘Habislah…’ desis hatinya. Sesekali dia melihat jam tangan. Kiranya jika doanya akan dimakbulkan Tuhan, sudah pasti dia akan meminta detik dan saat kaku seketika. Akhirnya, selepas berhempas pulas dengan kegelisahan mengejar waktu, Baihaqi tiba juga di fakulti.

“Assalamualaikum…” sapa Nusaibah dari belakang.

“Wa…Waalaikumussalam…” Baihaqi terpaku seketika. Hatinya berbisik bahawa tiada lagi gadis di fakultinya yang berani untuk memberi salam kepadanya. Bahkan kejelitaan gadis itu membuatkan dada Baihaqi terasa sesak dan jantungnya berdegup kencang. Cepat-cepat Baihaqi memperbetulkan kedudukan motosikalnya.

‘Astaghfirullah…’ bisik hati kecilnya.

“Maafkan saya. Boleh pinjam helmet tak? Sekejap je…”

Permintaan Nusaibah tidak dijawab Baihaqi. Baihaqi masih memandang ke arah lain. Tangannya seringkali memperbetulkan kedudukan helmet, sekejap diletakkan di side mirror, kemudian diubah ke tempat duduk dan seterusnya diubah pada kedudukan yang lain. Seakan hilang punca. Namun Baihaqi masih tidak berganjak dari kedudukannya sejak dari  Nusaibah memberi salam kepadanya lagi.

“Erm, maaf la yer. Kalau tak boleh, takpe lah…” ujar Nusaibah dalam nada lemah. Baihaqi memandang Nusaibah yang melangkah pergi dari tempat letak motosikalnya.

‘Ya Allah… Apa yang aku fikir ni? Dia nak pinjam helmet je pun…’ kali ini hatinya berbisik memujuk diri supaya memberi sahaja helmetnya kepada  Nusaibah.

“Saudari!” panggil Baihaqi.

Nusaibah menoleh. Baihaqi tersenyum, kali ini dibiarkan segala persepsi yang membelenggu diri. Ditunjukkan helmetnya kepada Nusaibah. Nusaibah memberi isyarat supaya Baihaqi untuk tunggu sebentar. Nusaibah melangkah menghampiri Baihaqi dan mengambil helmet Baihaqi.

Pin! Pin! Pin!

Bunyi hon skuter kepunyaan Najwa menyebabkan Nusaibah bergegas meninggalkan Baihaqi. Baihaqi hanya memerhatikan gelagat Nusaibah dengan senyuman di bibir. Inilah kali pertama dia berkelakuan begini. Hatinya berasa gelisah tatkala berhadapan dengan Nusaibah. Petanda jodoh seringkali muncul dibenak fikirannya, namun ditepis mentah-mentah oleh egonya.

“Alamak! Dah lewat 20 minit!” lamunannya terhenti akibat waktu yang tidak pernah menunggu.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Kau gila ke? Kau tahu ni helmet siapa?” soal Najwa seperti tidak percaya apa yang telah dilakukan oleh rakannya itu.

“Tahu. Tapi saya tak ada pilihan,”

Najwa hanya mampu menggelengkan kepala. Namun sesekali dia mengusik Nusaibah bahawa pemilik helmet ini barangkali menjadi pemilik hati peminjam helmet ini. Nusaibah pantas menafikan.

“Najwa… Nanti awak tolong hantarkan helmet ni kepada tuannya boleh?”

“Malu ke?” usik Najwa. Nusaibah menjeling tepat ke arah muka Najwa.

Nusaibah bukannya malu untuk berjumpa dengan Baihaqi. Tetapi tindakannya yang beredar tanpa mengucapkan terima kasih menyebabkan dia rasa bersalah. Walaupun telah dijelaskan kepada Najwa, namun Najwa masih berdegil menginginkan Nusaibah menghantar sendiri helmet tersebut kepada tuannya.

Dalam masa yang sama, Baihaqi yang baru sahaja selesai mengikuti kuliah bersiap sedia untuk pulang. Mindanya masih ligat memikirkan siapa gadis yang baru menyapanya semasa dia baru sahaja sampai ke tempat kuliahnya.

Sambil menghidupkan enjin motosikalnya, Baihaqi mengambil songkok dikepalanya dan diletakkan dalam raga motosikal. Seakan ada yang kurang. Itulah yang dirasakan Baihaqi saat ini. Termenung jauh seketika. Sesekali lidahnya basah berselawat untuk mengenalpasti apa kekurangan yang dirasakannya. Jari-jemarinya mengusap muka dan kemudian dituruti usapannya di kepala.

“Ya Allah! Helmet!” Baihaqi baru teringat bahawa helmetnya telah dipinjam oleh gadis yang baru sahaja bermain difikirannya. Dia tidak dapat mempercayai bahawa dia telah memberi helmet kepada seseorang tanpa mengetahui bila dan bagaimana helmetnya akan dipulangkan.

“Ni mesti aku kena pukau…” usik dirinya sendiri. Baihaqi mematikan enjin motosikal.

“Err… Baihaqi…”

Sekali lagi Baihaqi tersentak dengan sapaan suara gadis dari belakang. Dia kenal benar suara tersebut. Bahkan sepanjang pengetahuannya, belum ada suara selembut itu memanggil namanya. Dia menoleh untuk melihat siapa gerangan gadis yang memanggil namanya.

“Oh…awak,”

“Ya... saya yang pinjam helmet awak. Sekarang saya nak pulangkan helmet ni. Sorry sebab tak ucap apa-apa sebelum saya pergi…” jelas Nusaibah.

Dengan senyuman Baihaqi mebalas, “Tak mengapa… Ingatkan saya kena pukau tadi… Nasib baik bukan.”

“Pukau?” soal Nusaibah kehairanan.

“Yela. Entah macam mana saya boleh bagi awak pinjam helmet kesayangan saya tanpa saya tahu latar belakang awak…”

Nusaibah hanya mampu ketawa kecil.

“Tapi…jangan salah faham yer… Saya bukan nak tanya nama awak… Saya cuma…”

“Nusaibah...” balas Nusaibah.

“Nusaibah?”

“Ya. Saya pulang dulu yer. Kawan saya dah lama tunggu…” Nusaibah melangkah pergi dan berlalu dari situ. Baihaqi memandang sahaja pemergian Nusaibah sehinggalah hilang di pandangan matanya.

‘Nusaibah…’ desis hatinya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Keadaan selepas graduasi sememangnya sukar bagi sebahagian para graduan. Terpaksa bergelut dengan cabaran pasaran kerja yang melibatkan banyak persaingan. Banyaknya persaingan menandakan banyaknya pengorbanan dan korbannya. Baihaqi pula lebih selesa mengusahakan perniagaan keluarganya.

“Sudahlah tu. Rehat sekejap.  Mari minum air teh ais yang Mama buat ni…”

“Baiklah, Mama.” Balas Baihaqi kepada permintaan Mamanya. Air teh ais sememangnya kegemaran Baihaqi. Kehidupan keluarganya hanya berkisar tentang kehidupan ibu dan anak sahaja yakni hanya tinggal mereka berdua sahaja. Kesemua saudara-mara yang lain menyisihkan diri akibat pengaruh warna dan bendera yang berbeza.

“Baihaqi, kamu tak fikir ke untuk menikah, nak?” soal Mamanya lemah. Lemahnya Mama Baihaqi bukan kerana tua tetapi kerana keletihan mempertahankan maruah keluarga dan aib arwah suaminya. Semasa arwah suaminya masih hidup, mama cukup kuat dalam menangkis pelbagai serangan sama ada dari jiran tetangga mahupun darah daging sendiri.

Persoalan yang diutarakan Mama kepada Baihaqi tidak mampu dijawab. Walaupun di hatinya sudah ada yang mendiami. Mama melihat sayu ke arah muka Baihaqi.

“Kalau kamu masih belum ada yang kamu berkenan, mak boleh rekemen-kan… Tu ha! Anak Ustaz Hashim Majdi, keturunannya baik-baik belaka… Kalau tak nak jugak, anak Dr. Yaakob Aziz pun ada… Baru habiskan pengajian dari Univirsiti di Jordan…”

“Tak mahulah Mama. Biar masa sahaja yang tentukan…” Baihaqi cuba menidakkan campurtangan mama dalam mencari jodohnya. Ingin sahaja hatinya mengatakan bahawa dia sudah berkenan dengan seorang gadis. Mama seakan sudah mengerti bisik hati Baihaqi.

“Siapa nama gadis tu?” soal Mama ceria. Baihaqi terkejut tatkala mendengar soalan Mama. Mama masih menanti jawapan dari mulut Baihaqi.

“Tak ada siapa-siapa pun,”

“Kamu anak Mama, mustahil mama tak tahu apa yang kamu sembunyikan… Gadis tu sama warna dan bendera dengan kita tak?” pertanyaan Mama dibalas dengan tindakan Baihaqi mengangkat bahu berulang-kali sebagai tanda dia tidak pernah mengambil tahu tentang hal itu.

“Usah pilih sembarangan, nak. Mama harap Baihaqi tahu apa mereka dah lakukan kepada kita semasa arwah Baba masih hidup.” Mama mengingatkan kembali tentang perbuatan puak warna merah yang pernah memulaukan keluarga Baihaqi. Bahkan perniagaan arwah Baba hampir gulung tikar akibat perbuatan penyokong fanatik mereka yang membakar van milik arwah Baba. Hasilnya keluarga Baihaqi dibelenggu hutang sehingga kini.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
‘Mana tas tangan aku ni?’ Ibu Nusaibah tercari-cari tas tangan yang baru dibelinya semalam.  Hampir kesemua sudut biliknya telah diselidiki, namun apa yang dicarinya masih belum dijumpai.

“Nusaibah ada ambil tas tangan ibu tak?” soal Ibu kepada Nusaibah yang sedang masak di dapur.

“Tas tangan yang baru beli tu ke?”

“Ya,”

“Rasanya Ibu letak atas meja ruang tamu semalam,” ujar Nusaibah memberitahu dimana terletak tas tangan ibunya. Ibu segera mendapatkan tas tangan itu. Namun sebelum sempat Ibu tiba ke ruang tamu, Ibu terlihat sekeping gambar di bilik Nusaibah. Ibu mengamati gambar tersebut selama beberapa ketika.

“Ibu, lauk dah siap. Jom makan” Nusaibah memanggil Ibu untuk makan malam bersama.

“Gambar siapa dalam bilik Nusaibah?” soal Ibu. Nusaibah hanya menundukkan kepala sambil menuangkan nasi dalam pinggan. Ibu ketawa sendirian. Barangkali ketawanya ibu kerana melihat anak gadisnya yang dikendong selama ini sudah membesar menjadi seorang wanita yang sudah layak diuji dengan tanggungjawab berkeluarga.

“Merah atau Hijau?” soal Ibu.

“Bukan Merah…” balas Nusaibah sambil ternanti-nanti reaksi dari Ibu. Bukan apa, Ibu Nusaibah sememangnya dikenali sebagai ‘orang kuat’ bagi golongan warna ‘merah’. Manalah tahu jika Ibunya menentang mana-mana manusia yang tidak sealiran dengannya.

“Ibu… tak marah?” soal Nusaibah berhati-hati.

“Marah untuk apa? Kamu kan yang nak berkahwin…” jawab Ibu sambil ketawa. Nusaibah menarik nafas lega dan senyuman manis berlesung pipitnya kini kembali terukir.

“Tapi kamu dah janji yang kamu tak akan menentang Ibu kan?” soal Ibu yang kemudiannya dibalas serta-merta oleh Nusaibah dengan anggukan kepala menandakan bahawa dia akan senantiasa menyokong Ibunya. Selesai sahaja menjamu selera, Ibu mengemas dapur dan meja makan. Manakala Nusaibah pula terus ke biliknya.

Dicapainya laptop dan segera melayari internet dengan menggunakan broadband. Bahkan, Nusaibah menghantar SMS kepada Baihaqi supaya chat dengannya melalui YM. Maka bermulalah perbualan maya antara Nusaibah a.k.a. Anak Ibu  dan Baihaqi a.k.a. Mujahidin.

Anak Ibu : Salam…
Mujahidin : Salam… dah makan?
Anak Ibu : dah… Awak?
Mujahidin : Sama dengan awak. Ibu sihat?
Anak Ibu : Sihat. Mama?
Mujahidin : Alhamdulillah… Awak, nak tanya sikit. Boleh?
Anak Ibu : Tanya lah…
Mujahidin : Awak merah ke?
Anak Ibu : Kenapa tanya?
Mujahidin : Kalau awak merah, saya nak awak pilih hijau lepas kita bersama nanti… boleh?
Anak Ibu : Tapi saya dah janji dengan Ibu. Apa kata awak yang pilih merah.
Mujahidin : Sorry. Awak pun tahu sejarah keluarga saya.
Anak Ibu : Tahu…
Mujahidin : Susah kan kalau kita bercinta di negara ni? Huhuhu…
Anak Ibu : Kita pilih yang kuning je lah. Huhuhu…
Mujahidin : Macam lampu isyarat pulak…
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Dua bulan kemudian, Baihaqi dan Nusaibah selamat ditunangkan. Pertunangan yang berlangsung secara sederhana. Hanya saudara-mara terdekat dan jiran tetangga sahaja dipanggil bagi memeriahkan hari pertunangan Baihaqi dan Nusaibah.

Sebulan kemudian, di kala matahari memancarkan beningnya, Ibu Nusaibah baru sahaja pulang dari meghadiri perjumpaan jawatankuasa wanita. Nusaibah pula sedang leka menonton televisyen. Kelekaannya menonton siaran telesvisyen menyebabbkan dia tidak sedar bahawa Ibunya telah pulang ke rumah.

“Bertuah punya anak…”

“Eh, Ibu… Bila balik?”Ibu hanya menggelengkan kepala pasrah dengan kelekaan Nusaibah menonton siaran televisyen sehingga tidak sedar akan kepulangannya. Pasrahnya sementara sahaja. Ibu duduk bersebelahan dengan Nusaibah di kerusi sofa. Selang beberapa minit, iklan kewajipan mengundi disiarkan sempenan Pilihanraya yang hampir menjelma.

“Nusaibah masih ingat janji Ibu kan?” soal Ibu kepada Nusaibah.

“Saya ingat,”  balas Nusaibah.

“Oleh sebab Ibu tahu anak Ibu ni takkan menentang Ibu… Ibu nak Nusaibah putuskan pertunangan dengan Baihaqi…”

Berderau darah Nusaibah tatkala mendengar kata-kata itu dari mulut Ibunya. Ibunya yang pada suatu ketika dahulu merestui hubungan dia dan Baihaqi kini cuba bertindak sebagai pemutus ikatan kasih sementara antaranya dan Baihaqi. 

“Apa yang ibu kata ni? Ibu sedar tak apa yang ibu kata?” soal Nusaibah cemas sambil keadaan matanya ibarat kaca yang retak.  

“Ibu dengar yang keluarga Baihaqi adalah keluarga yang radikal. Ibu takut hidup anak Ibu rosak nanti…” Ibu cuba menjelaskan niatnya memutuskan pertunangan Nusaibah dan Baihaqi. Namun, penjelasan itu belum cukup meredakan emosi Nusaibah yang sudah tersentap dengan permintaan ibunya. Genangan air mata di tebing kelopak mata Nusaibah mula membasahi pipinya. Nusaibah mengunci diri di biliknya.

“Nusaibah… Nusaibah… Ibu nak Nusaibah ifikir masak-masak pertunangan dengan Baihaqi... Ibu tak nak anak Ibu ni dipulau orang kat sini… itu saja” Ibu cuba memujuk Nusaibah dari luar bilik. Nusaibah masih mengunci diri dalam biliknya. Tiada satu suara kedengaran melainkan suara tangisan teresak-esak sahaja.

“Baiklah… kalau kamu nak kunci dalam bilik, biar Ibu bantu. Mulai hari ini kamu tak boleh keluar dari bilik ini sehinggalah Baihaqi sendiri datang untuk putuskan pertunangan kamu!” ujar Ibu Nusaibah sambil mengunci bilik Nusaibah dari luar.

‘Lebih baik aku telefon mama Baihaqi’ bisik hati Ibu. Ibu segera mencapai telefon dan terus menelefon Mama Baihaqi. Ibu menjelaskan niatnya untuk memutuskan pertunangan dengan Baihaqi. Mama pula bersetuju untuk memutuskan pertunangan Baihaqi dan Nusaibah atas sebab baru sahaja mengetahui bahawa keluarga Nusaibah adalah bukan dari orang yang memilih Hijau.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Kamu tipu Mama!”

Baihaqi yakin bahawa mamanya sudah mengetahui bahawa keluarga Nusaibah bukan dari kalangan warna dan bendera yang sama dengan apa yang diharapkan oleh Mama.

“Anak tak kenal budi! Kamu nak sangat manusia yang membunuh baba kamu kan…Pergi! Pergi jilat semua ludah mereka!” tengking Mama terhadap Baihaqi. Baihaqi melutut di kaki kiri mama untuk memohon maaf.

“Sudah! Mulai hari ini, mama nak kamu putuskan pertunangan dengan Nusaibah,” kata-kata muktamad Mama tersebut menyebabkan Baihaqi bingkas bangun. Baihaqi menidakkan permintaan Mama dengan menyatakan bahawa cintanya terhadapa Nusaibah bukan kerana atas kisah silam dan bukan juga kerana dendam.

Papp!

Berlinang air mata sang pria ke bumi. Baihaqi mengusap pipinya yang masih berbekas dengan kesan tamparan dari mamanya. Selepas dari peristiwa itu, pertunangan antara Baihaqi dan Nusaibah tidak pernah diteruskan dan tidak juga pernah diputuskan. Pertunangannya tergantung. Ibu Nusaibah kini sudah menjadi calon dan berjaya memenangi Pilihanraya. Manakala Mama Baihaqi pula masih menyimpan dendam kematian suaminya.

Pernah sekali Baihaqi berjumpa dengan Ibu Nusaibah untuk meminta izin supaya pertunangan ini diteruskan sehingga ke jinjang pelamin, namun Ibunya menyatakan bahawa Nusaibah sedang bercuti bersama seorang Dato’ yakni salah seorang ahli perniagaan terkenal di Sarawak.  Namun Baihaqi tak percaya.

Ibu segera menyerahkan gambar percutian Nusaibah bersama seorang lelaki yang dikatakan ahli perniagaan dari Sarawak yang berpangkat Dato’ tersebut. Hati Baihaqi luluh sekali tatkala melihat gambar yang diberikan oleh Ibu Nusaibah.

Akhirnya dengan hati berat dan pedih, Baihaqi bersetuju untuk melepaskan Nusaibah dari ikatan pertunangan. Kesudian Baihaqi untuk memutuskan pertunangan ini didengari  Nusaibah. Nusaibah bergegas mendapatkan Baihaqi, namun gagal kerana pintu biliknya dikunci dari luar.
Dalam linangan air mata, Nusaibah tunduk kaku pasrah dengan segala aturan-Nya.  Dia hanya mampu berkata dalam nada yang sebak,

“Ya Allah, andai jiwa-ku tidak ditentukan untuknya, maka kembalikanlah jiwa ini kepada-Mu…
Andai jiwa ini diimpikan untuk insan lain, maka ku mohon agar aku dibenarkan mencintai-Mu sahaja…”

28 Februari 2011

(CERPEN) : Mastermind Cinta


“Nasrul…”

Aku terkesima tatkala namaku dipanggil. Panggilan yang aku pasti bukan dari Miss Nini, yakni guru MUET-ku. Garang dan kegemarannya adalah mencubit perut pelajar yang tersalah dalam menyebut perkataan Inggeris.

“Nasrul…. Gula-gula?” sekali lagi suara itu kedengaran dipersisir telingaku. Nyamannya. Seakan-akan aku kenal suara yang lembut itu. Dan aku pasti jarang sekali nama aku dipanggil oleh suara itu. Ermm… Mungkin kerana nama aku sering dilaungkan bersama suara Miss Nini.

“Oit, Nasrul!” sampuk Syariful. Aku terkejut dari lamunan. Rupa-rupanya peristiwa dalam kelas selepas peperiksaan MUET masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran aku.

“Sekarang pukul berapa?”

“Dah nak masuk waktu maghrib dah…” jawab Syariful yang tampaknya baru selesai mandi. Aku melihat sahaja tingkah-laku Syariful. Mataku melirik tepat ke arah gula-gula yang berada dalam loker Syariful.

“Erm…Syariful, nak tanya sikit?”

“Pasal apa?”

Aku memberanikan diri untuk mengatur ayatku supaya tidak nampak seperti orang yang terdesak,

“Aku rasa macam kenal jer gula-gula tu…”

Syariful yang sebelum ini sibuk mempersiapkan diri tiba-tiba berhenti dan ketawa…

“Hahaha…”

“Apa yang lawaknya?”aku kehairanan. Syariful datang kepadaku sambil membawa gula-gula tersebut. Dia duduk dibelakang aku. Syariful cuba membisikkan sesuatu kepada aku.

“Kau…hahaha…”

“Ketawa lagi?” desis hatiku. Syariful menunjukkan kepadaku gula-gula tersebut. Dia memasukkan gula-gula tersebut dalam poket baju aku. Ironinya, poket baju aku itu terletak berdekatan dengan hatiku.

“Hati-hati dengan gula-gula kawan… Makanan yang manis ni tak baik untuk hati…” usik Syariful sambil menahan ketawa. Aku pasti dia sudah tahu apa yang sedang aku alami. Angau. Barangkali ya, dan mungkin sekali tidak. Entahlah. Yang pasti aku belum bersedia untuk memberi komitmen dalam soal cinta. Perghhh! Sekurang-kurangnya itulah ayat standard dalam menyembunyikan perasaan angau aku ini tatkala masih dalam sesi persekolahan. Tambahan pula peperiksaan STPM kian menjelma.

“Epul…” itulah nama gelaran yang aku selalu guna untuk memanggil Syariful.

“Kau rasa kalau perempuan tu dah ada yang empunya, nak ke lagi dia cari pilihan yang lain?”

“Ermm… kau rasa?” Syariful enggan menjawab soalan aku. Aku termenung seketika. Teringat firman Allah Taala yang bermaksud wanita keji untuk lelaki yang keji, dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik.

“ Siapa dia tu?” usik Syariful.

“Ingatkan kau tak nak tahu,”

“Aku dah tahu. Cuma aku nak kepastian dari mulut kau,”

“Nur Balqis…”

“Balqis? What!? ”Syariful terkesima. Azan maghrib pun bergema.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Selesai tazkirah maghrib, aku segera bergegas ke bilik rakanku yang aku kenali sebagai Awe. Kenapa Awe? Sudah tentulah sebab dia orang kelantan. Itu sahaja penjelasan yang aku mampu berikan berkaitan dengan ‘Awe’. Awe sememangnya dikenali sebagai seorang yang ladies man. Sangat rapat dengan rakan-rakan perempuan di sekolah aku. Aku pula seorang yang kurang aktif dalam bersembang dengan pelajar perempuan. Tapi dalam hal lain, aku memang aktif.

“Awe!” aku memanggil Awe dari luar biliknya sambil mengetuk pintunya beberapa kali. Namun tidak dijawab. Aku terus membuka pintu biliknya yang tidak berkunci.

“ Ya Allah, aku panggil korang patutlah tak jawab… Dengar MP3 pakai volume berapa ni!?”

Syariful yang turut berada bersama Awe mengeluarkan salah satu earphone dari telinganya.

“Eh, Nasrul. Kau cakap apa tadi?” soal Syariful kepada aku. Aku hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala sebagai tanda aku tak pernah mengeluarkan apa-apa perkataan sebelum ini.

“Epul, aku nak bincang sikit dengan kau…”

Syariful memandang aku sambil tersengih seperti mengetahui apa yang ingin aku bincangkan. Kemudian Syariful menunjukkan isyarat mata yang melirik ke arah Awe yang masih diulit dengan lagu dari MP3. Aku membalas dengan menganggukkan kepala. Kemudian Syariful membisikkan ke telinga Awe tentang keadaan ‘angau’ aku ini. Saat aku memikirkan apakah perasaan aku ini hanya sementara, tiba-tiba helai tawa Awe memecahkan suasana bening malam.

“ Balqis?” soal Awe kepadaku aku bagi mendapatkan kepastian. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Sekali lagi Awe ketawa berdekah-dekah. Namun kali ini ketawanya turut disertai dengan tawa dari Syariful yang sudah lama tidak dapat menahan ketawanya dari tadi.

“ Aku tahu benda ni mustahil tapi…” aku tak sempat menghabiskan kataku kerana Awe meletakkan jari telunjuknya ke bibir aku.

“ Macam filem romantik tak?” usik Syariful.

“Hahaha!” Awe dan Syariful terus ketawa. Aku sudah agak perkara ini akan berlaku.

“Aku tak kisah kalau kau nak kapel dengan siapa pun… tapi takkan dengan dia?” sampuk Awe. Sebenarnya aku, Syariful dan Awe serta semua pelajar lelaki batch aku kenal dengan Balqis, dengar kata dia dah berpunya. Buktinya ramai kawan-kawan aku yang pernah cuba pikat dia, tapi semuanya menemui jalan yang buntu. Akhirnya aku termenung sekali lagi.

“Kesian pulak aku tengok kau ni… Fikir elok-elok, betulke kau serius nak dapatkan dia?” pujuk Syariful pada aku. Barangkali dia sangka aku sentap dengan apa yang dikatakan oleh Awe sebelum ini. Hendak sahaja aku jawab, sedangkan yang bertunang pun boleh putus, inikan pula yang belum ada apa-apa ikatan.

“Jangan pula kau nak bagi alasan bertunang pun boleh putus, kahwin pun boleh cerai sudahla…” aku terkesima dengan kata-kata Awe. Seakan-akan dia mampu mengagak apa yang ada dalam fikiran aku.

“Apa kata kita cuba dulu…” aku cuba memberi jalan keluar bagi masalah ini.

“Maksudnya?” soal Awe.

“Maksud kau, kita rangka rancangan untuk memikat Balqis untuk kau?” Syariful menanti jawapan aku dari soalannya. Aku tersenyum. ‘Ya,’ desis hatiku. Rancangan pertama aku adalah untuk dapatkan nombor telefon Balqis. Sumbernya sudah tentu Awe.

Aku hantar SMS bertanyakan tentang jadual exam STPM, namun tak dijawab. Lantas aku terus menelefonnya, namun masih tak dijawab. Pasrah. Itulah perkataan yang sesuai untuk mimik muka aku sewaktu bertemu Syariful dan Awe keeseokan harinya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
 “Aku rasa macam tepuk sebelah tangan la…” aku mengadu kepada mereka. Syariful cuba memotivasikan aku kembali dengan berkata,

“ Sabar… Cinta ni kalau nak dapat yang berkekalan lebih lama adalah yang susah kita nak dapat… Kalau senang dapat, senang jugaklah dapat kepada orang lain pula”

Ada benarnya juga kata Syariful. Yang susah kita perolehi adalah yang sentiasa disisi, yang senang kita dapati adalah yang sentiasa berlalu pergi. MP3. Entah mengapa aku asyik terpandang MP3 kepunyaan Awe. Hendak kata kerana warnanya yang hijau, itu bukan musababnya. Akalku ligat memikirkan sesuatu yang berkaitan dengan MP3 kepunyaan Awe. Akhirnya setelah jenuh berfikir, aku punyai satu idea baru untuk memikat Balqis.

“MP3 ni boleh record tak?” soal aku spontan. Awe mengiyakan soalan aku. Aku terus menjelaskan idea baru aku tersebut.

Idea aku berbunyi begini, ibaratkan aku sedang membaca al-Quran. Tiba-tiba datang Awe dan Syariful mendekati aku untuk bertanya tentang seorang pelajar perempuan bernama Balqis dan sepuluh keistimewaannya. Katakanlah bahawa di asrama pelajar lelaki, semua sudah tahu bahawa aku dan Balqis sering dikaitkan bersama. Walaupun hakikatnya adalah tidak pernah berlaku. Bahkan, Syariful dan Awe merakamkan jawapan aku di luar pengetahuan aku. Sekurang-kurangnya itulah ideanya.

“Tapi kau nak baca surah apa?” soal Awe kehairanan.

“Erm… surah apa ek?” Syariful juga tak dapat membantu.

“Kalau surah an-Nisa’ boleh? Sebab surah tu banyak sebut tentang wanita…hehe…”

“Boleh, tapi baca ayat yang tengah-tengah. Kalau awal ayat nanti nampak sangat buat-buat” jawab Awe. Kami ketawa bersama.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Awe telah menghantar rakaman MP3nya kepada seorang pelajar perempuan yang mengenali Balqis. Awe memberitahu aku bahawa Balqis telah mendengar rakaman tersebut. Responnya dingin. Tak teruja. Barangkali kerana aku bukan lelaki idamannya. Sekurang-kurangnya itulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan keadaan aku pada waktu itu.

Sungguhpun aku tak berjaya dalam memikat Balqis melalui percubaan rakaman MP3, namun berita mengenai aku sedang hangat bercinta dengan seorang pelajar perempuan di sekolah aku telah mengejutkan aku. Bukan kerana aku tidak menyangka pelajar sekolah ini sukakan gosip, tetapi aku terkejut bila mendapati pelajar perempuan yang dimaksudkan dalam gosip liar itu adalah bukan bernama Balqis. Bukan Balqis, sekali lagi aku ulangi. Mungkin sebab itulah ia dikatakan gosip liar.

Oleh kerana ia adalah gosip maka aku biarkan ia berlalu ibarat dedebu pasir yang sering mengkaburi mata si pengembara. Aku teruskan usahaku untuk memikat Balqis. Kali ini melalui propaganda hadiah. Dalam loker atau almari aku ada satu hadiah bebola kaca yang didalamnya terdapat satu ukiran ikan dolphin biru. Aku ambil satu kertas yang ada kesan koyak, lalu aku tulis :

JADILAH SEPERTI DOLPHIN BIRU, YANG SENTIASA CANTIK TANPA DIPENGARUHI ANASIR LUAR KERANA DILINDUNGI KACA.  

Lalu aku konyokkan kertas tersebut. Aku menunggu Awe di bahagian tangga asrama. Apabila Awe turun sahaja melalui tangga tersebut, aku menyuruh Awe untuk memberikan hadiah itu bersama kertas yang dikonyokkan tadi untuk diserahkan kepada Balqis. Aku memberi jalan cerita kepada Awe tentang hadiah itu. Jalan ceritanya seperti ini, Awe telah nampak aku buang hadiah ini dalam tong sampah. Awe ambil hadiah tersebut dan bertanyakan kepada aku,

“Hadiah ni kau nak bagi kat Balqis kan?”

Aku menjawab, “Ya…”. Itulah jalan cerita yang aku asaskan kepada Awe untuk memberikan hadiah ini kepada Balqis. Seperti biasa, responnya masih sama. Aku kembali pasrah. Huhh…
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Syariful datang kepada aku sambil menasihati aku jangan terlalu mengikut perasaan. Jangan diikutkan darah remaja. Namun aku seakan sudah tidak berdaya. Segala daya dan upaya aku sudah digunakan untuk menafikan fitrah selama ini.

“Elok kau solat istikharah…itu yang terbaik…” ujar Syariful.

“Aku bukan tak nak buat, tapi aku takut semua ni mainan perasaan sahaja…”

“Kalau kau yakin ini mainan perasaan, takkan kau beriya-iya buat segala macam rancangan untuk pikat Balqis… Jangan ingat kau seorang sahaja mastermind, ada lagi Maha Mastermind yang punyai kuasa mutlak merealisasikan segala perancangan manusia.”

Nasihat Syariful benar-benar membuatkan aku terjaga dari lamunan. Aku tahu segala percaturan aku bakal mejadi sia-sia jika tidak disusuli dengan permintaan hamba kepada Pencipta. Malam itu juga aku beristikharah sebanyak dua rakaat memohon agar dibuka jalan yang selamat dalam menghadapi masalah ini. Namun jauh disudut hatiku mengharapkan agar ini bukanlah satu masalah tetapi satu rahmat yang membawa tuah. Aku harapkan Balqis menjadi yang terbaik untukku. Akan tetapi semuanya terletak di atas kekuasan-Nya.

Keesokan harinya, kehidupan aku kembali normal. Tiada lagi fikiran yang ligat memikirkan strategi dan taktik memikat Balqis. Hidup aku berhadapan dengan cubitan perut oleh Miss Nini. Juga berhadapan dengan gemuruhnya jiwa dalam menjawab kertas soalan peperiksaan STPM.

Selesai sahaja menjawab kertas subjek terakhir peperiksaan STPM, aku terus pulang ke asrama secara sendirian. Aku hantar SMS kepada Awe untuk bertanyakan sama ada dia dapat jawab soalan kertas tadi atau sebaliknya. Bukan itu saja, dalam SMS itu aku nyatakan bahawa aku ada satu lagi idea untuk memikat Balqis.

 Tiba-tiba, tanpa disangka, aku menerima satu SMS dari Balqis

‘Dah buang tebiat ke Balqis ni? Tak pernah-pernah SMS aku sebelum ni…’ getus hatiku. Aku terus membacanya,

‘Alhamdulillah… Saya dapat jawab… Awak? Anyway, thanks coz awak bagi hadiah dolphin tu. Saya hormati perasaan awak tapi kenalah minta izin dari mak saya dulu. Baru kena caranya.’

Aku menjerit sendirian dalam bilik air kerana mengalami dua perasaan emosi dalam masa yang sama. Emosi pertama adalah gembira kerana perasaan aku ni tidaklah bertepuk sebelah tangan. Tapi emosi kedua adalah malu kerana tersalah hantar mesej kepada Balqis yang sepatutnya aku hantar kepada Awe. 



“Alahai…” aku mengeluh sebagai tanda pasrah dan malu sekali lagi. 

27 Januari 2011

Bakat : Kau Ada?

'Talented'... Label yang sering digunakan manusia masa kini dalam mengkategorikan sesorang itu sebagai berbakat atau sebaliknya. Secara jujurnya perkataan berbakat ini mempunyai maksud yang subjektif. Bakat tidak boleh diukur dalam tempoh masa yang singkat, tidak juga boleh dinilai dengan takat pendapatan yang diterima, bahkan tidak juga mampu ditimbang usaha yang telah dilakukan dalam menjayakan suatu pekerjaan. Sebaliknya bakat mampu diukur setelah masyarakat sekelilingnya mula menerima kehadiran dan cara penyampaian oleh seseorang yang bakal digelar 'talented'. Ia bukan suatu yang dicipta sejak lahirnya manusia itu ke bumi tetapi ia lahir sepanjang proses manusia berusaha melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin.

Seseorang yang berbakat tidak semestinya akan popular, dan tidak semestinya hanya dikenali sebagai 'jaguh kampung' sahaja. Hakikatnya banyak sebab mengapa seseorang yang berbakat boleh jadi popular dan sebaliknya.

Untuk menjadi seseorang yang berbakat dan popular, ia memerlukan manusia lain yang juga berbakat untuk menonjolkannya. Sebagai contoh, seseorang yang berbakat besar dalam bidang nyanyian akan menjadi popular jika mempunyai insan dibelakang tabir yang berbakat dalam memasarkan lagunya atau berbakat dalam mencipta muzik yang bersesuaian dengannya. Mungkin juga, insan dibelakang tabir itu adalah wartawan yang berbakat dalam memberi publisiti kepada penyanyi baru yang berbakat tersebut. Hakikatnya, insan berbakat perlukan insan berbakat lain untuk membantunya popular.

Selepas popular, boleh jadi bakat itu semakin terhakis dan mungkin juga bakatnya makin menyinar. Bahkan mungkin juga bakat itu akan hilang sekelip mata tanpa dapat dibina semula kekuatannya. Hakikatnya ia anugerah Tuhan yang mana hanya Tuhan sahaja mampu memberi dan menariknya kembali. Namun, aku punyai prinsip bahawa bakat itu tidak datang sendiri. Tapi ia akan datang bila kita sudah selesai mengharungi cabarannya atau sedang menghadapi cabaran yang seterusnya.

Bukan mengatakan aku berbakat kerana aku juga sedang mencari bakat yang aku inginkan, tapi apa yang aku ada sekarang adalah hasil daripada kena maki atas pentas, diejek, di'booo', ditertawakan dan sebagainya. Kerana mana mungkin kita akan mengenal apa itu yang terbaik jika kita sendiri tidak pernah merasai apa itu YANG TERBURUK...

JIKA BAKAT ITU SEMULAJADI
SUDAH PASTI RAMAI YANG MENJADI SITI

18 Januari 2011

Ucapan sempena Anugerah Karnivel Teater UM 2011

Alhamdulillah, selepas berhempas pulas memerah keringat untuk menjayakan pementasan LUKHA, akhirnya kami berjaya membawa pulang dua anugerah yang cukup istimewa. Pertama, Anugerah Khas Juri dan kedua, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik. Oleh kerana tiada masa yang diberikan untuk pemenang berucap ketika penyampaian anugerah, maka aku muatkan segala ucapan dalam laman blog peribadi Naufal Tarmizi.

Terima kasih diucapkan kepada Pengarah (penulis skrip LUKHA) atas kepercayaan memberikan peluang kepada aku untuk menjayakan watak Imaan. Terima kasih juga diucapkan kepada kesemua krew dan warga kerja LUKHa serta rakan lakon yang sama-sama memberikan impak dalam lakonan yang dipersembahkan. Ucapan terima kasih juga kepada abang Wan, abang Fairuz Selamat dan Encik Fadli atas kesudian memberi tunjuk ajar dalam menjayakan watak Imaan. Begitu juga jutaan penghargaan buat warga Kolej 12 yang menyokong serta rakan2 SUKSIS, APIUM, JSU,PASUM, IPGM serta ramai lagi yang sudi menonton pementasan LUKHA. Akhir kata, percayalah bahawa LUKHA adalah permulaan kepada kemenangan.

Sebelum keputusan diumumkan

Bersama anugerah yang dimenangi

Pelakon Lelaki terbaik

Ini baru permulaan

16 Januari 2011

LUKHA : Luka Untukmu Kan Hilang Akhirnya...

Akhirnya selesai sudah impian aku untuk beraksi di pentas teater sebagai watak utama. Walaupun pelbagai respons yang diterima, namun aku tetap gembira kerana dikurniakan kumpulan tenaga produksi yang saling memberi komitmen terhadap tugasan masing-masing. Aku tak mahu cakap banyak, lihat sahaja gambar-gambar dibawah...Moga gambar itu mampu merungkai kisah disebalik nama LUKHA....

Permulaan

Baca doa

'Tungguuuu!'

Iman cuba ditenangkan Muaz

'Atau dosa-dosa aku ni dosa-dosa tak terampun'

Impian...

scene Bus Stop

Imaan, Raudhah & Anisa

Bintang-bintang di taman

Menanti Tamparan Bonda

'Biar bagaimanpun Raudhah dicerca...'

'Raudhah..'

Imaan dengan kerusi roda mewah

'Raudhah, maafkan Imaan...'

Imaan dan Muaz

Bonda menziarahi Imaan

Naufal cuba menjelaskan hal sebenar kepada Imaan

'Raudhah!!!'

TAMMAT