27 Januari 2011

Bakat : Kau Ada?

'Talented'... Label yang sering digunakan manusia masa kini dalam mengkategorikan sesorang itu sebagai berbakat atau sebaliknya. Secara jujurnya perkataan berbakat ini mempunyai maksud yang subjektif. Bakat tidak boleh diukur dalam tempoh masa yang singkat, tidak juga boleh dinilai dengan takat pendapatan yang diterima, bahkan tidak juga mampu ditimbang usaha yang telah dilakukan dalam menjayakan suatu pekerjaan. Sebaliknya bakat mampu diukur setelah masyarakat sekelilingnya mula menerima kehadiran dan cara penyampaian oleh seseorang yang bakal digelar 'talented'. Ia bukan suatu yang dicipta sejak lahirnya manusia itu ke bumi tetapi ia lahir sepanjang proses manusia berusaha melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin.

Seseorang yang berbakat tidak semestinya akan popular, dan tidak semestinya hanya dikenali sebagai 'jaguh kampung' sahaja. Hakikatnya banyak sebab mengapa seseorang yang berbakat boleh jadi popular dan sebaliknya.

Untuk menjadi seseorang yang berbakat dan popular, ia memerlukan manusia lain yang juga berbakat untuk menonjolkannya. Sebagai contoh, seseorang yang berbakat besar dalam bidang nyanyian akan menjadi popular jika mempunyai insan dibelakang tabir yang berbakat dalam memasarkan lagunya atau berbakat dalam mencipta muzik yang bersesuaian dengannya. Mungkin juga, insan dibelakang tabir itu adalah wartawan yang berbakat dalam memberi publisiti kepada penyanyi baru yang berbakat tersebut. Hakikatnya, insan berbakat perlukan insan berbakat lain untuk membantunya popular.

Selepas popular, boleh jadi bakat itu semakin terhakis dan mungkin juga bakatnya makin menyinar. Bahkan mungkin juga bakat itu akan hilang sekelip mata tanpa dapat dibina semula kekuatannya. Hakikatnya ia anugerah Tuhan yang mana hanya Tuhan sahaja mampu memberi dan menariknya kembali. Namun, aku punyai prinsip bahawa bakat itu tidak datang sendiri. Tapi ia akan datang bila kita sudah selesai mengharungi cabarannya atau sedang menghadapi cabaran yang seterusnya.

Bukan mengatakan aku berbakat kerana aku juga sedang mencari bakat yang aku inginkan, tapi apa yang aku ada sekarang adalah hasil daripada kena maki atas pentas, diejek, di'booo', ditertawakan dan sebagainya. Kerana mana mungkin kita akan mengenal apa itu yang terbaik jika kita sendiri tidak pernah merasai apa itu YANG TERBURUK...

JIKA BAKAT ITU SEMULAJADI
SUDAH PASTI RAMAI YANG MENJADI SITI

Tiada ulasan: