28 Februari 2011

(CERPEN) : Mastermind Cinta


“Nasrul…”

Aku terkesima tatkala namaku dipanggil. Panggilan yang aku pasti bukan dari Miss Nini, yakni guru MUET-ku. Garang dan kegemarannya adalah mencubit perut pelajar yang tersalah dalam menyebut perkataan Inggeris.

“Nasrul…. Gula-gula?” sekali lagi suara itu kedengaran dipersisir telingaku. Nyamannya. Seakan-akan aku kenal suara yang lembut itu. Dan aku pasti jarang sekali nama aku dipanggil oleh suara itu. Ermm… Mungkin kerana nama aku sering dilaungkan bersama suara Miss Nini.

“Oit, Nasrul!” sampuk Syariful. Aku terkejut dari lamunan. Rupa-rupanya peristiwa dalam kelas selepas peperiksaan MUET masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran aku.

“Sekarang pukul berapa?”

“Dah nak masuk waktu maghrib dah…” jawab Syariful yang tampaknya baru selesai mandi. Aku melihat sahaja tingkah-laku Syariful. Mataku melirik tepat ke arah gula-gula yang berada dalam loker Syariful.

“Erm…Syariful, nak tanya sikit?”

“Pasal apa?”

Aku memberanikan diri untuk mengatur ayatku supaya tidak nampak seperti orang yang terdesak,

“Aku rasa macam kenal jer gula-gula tu…”

Syariful yang sebelum ini sibuk mempersiapkan diri tiba-tiba berhenti dan ketawa…

“Hahaha…”

“Apa yang lawaknya?”aku kehairanan. Syariful datang kepadaku sambil membawa gula-gula tersebut. Dia duduk dibelakang aku. Syariful cuba membisikkan sesuatu kepada aku.

“Kau…hahaha…”

“Ketawa lagi?” desis hatiku. Syariful menunjukkan kepadaku gula-gula tersebut. Dia memasukkan gula-gula tersebut dalam poket baju aku. Ironinya, poket baju aku itu terletak berdekatan dengan hatiku.

“Hati-hati dengan gula-gula kawan… Makanan yang manis ni tak baik untuk hati…” usik Syariful sambil menahan ketawa. Aku pasti dia sudah tahu apa yang sedang aku alami. Angau. Barangkali ya, dan mungkin sekali tidak. Entahlah. Yang pasti aku belum bersedia untuk memberi komitmen dalam soal cinta. Perghhh! Sekurang-kurangnya itulah ayat standard dalam menyembunyikan perasaan angau aku ini tatkala masih dalam sesi persekolahan. Tambahan pula peperiksaan STPM kian menjelma.

“Epul…” itulah nama gelaran yang aku selalu guna untuk memanggil Syariful.

“Kau rasa kalau perempuan tu dah ada yang empunya, nak ke lagi dia cari pilihan yang lain?”

“Ermm… kau rasa?” Syariful enggan menjawab soalan aku. Aku termenung seketika. Teringat firman Allah Taala yang bermaksud wanita keji untuk lelaki yang keji, dan wanita yang baik untuk lelaki yang baik.

“ Siapa dia tu?” usik Syariful.

“Ingatkan kau tak nak tahu,”

“Aku dah tahu. Cuma aku nak kepastian dari mulut kau,”

“Nur Balqis…”

“Balqis? What!? ”Syariful terkesima. Azan maghrib pun bergema.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Selesai tazkirah maghrib, aku segera bergegas ke bilik rakanku yang aku kenali sebagai Awe. Kenapa Awe? Sudah tentulah sebab dia orang kelantan. Itu sahaja penjelasan yang aku mampu berikan berkaitan dengan ‘Awe’. Awe sememangnya dikenali sebagai seorang yang ladies man. Sangat rapat dengan rakan-rakan perempuan di sekolah aku. Aku pula seorang yang kurang aktif dalam bersembang dengan pelajar perempuan. Tapi dalam hal lain, aku memang aktif.

“Awe!” aku memanggil Awe dari luar biliknya sambil mengetuk pintunya beberapa kali. Namun tidak dijawab. Aku terus membuka pintu biliknya yang tidak berkunci.

“ Ya Allah, aku panggil korang patutlah tak jawab… Dengar MP3 pakai volume berapa ni!?”

Syariful yang turut berada bersama Awe mengeluarkan salah satu earphone dari telinganya.

“Eh, Nasrul. Kau cakap apa tadi?” soal Syariful kepada aku. Aku hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala sebagai tanda aku tak pernah mengeluarkan apa-apa perkataan sebelum ini.

“Epul, aku nak bincang sikit dengan kau…”

Syariful memandang aku sambil tersengih seperti mengetahui apa yang ingin aku bincangkan. Kemudian Syariful menunjukkan isyarat mata yang melirik ke arah Awe yang masih diulit dengan lagu dari MP3. Aku membalas dengan menganggukkan kepala. Kemudian Syariful membisikkan ke telinga Awe tentang keadaan ‘angau’ aku ini. Saat aku memikirkan apakah perasaan aku ini hanya sementara, tiba-tiba helai tawa Awe memecahkan suasana bening malam.

“ Balqis?” soal Awe kepadaku aku bagi mendapatkan kepastian. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Sekali lagi Awe ketawa berdekah-dekah. Namun kali ini ketawanya turut disertai dengan tawa dari Syariful yang sudah lama tidak dapat menahan ketawanya dari tadi.

“ Aku tahu benda ni mustahil tapi…” aku tak sempat menghabiskan kataku kerana Awe meletakkan jari telunjuknya ke bibir aku.

“ Macam filem romantik tak?” usik Syariful.

“Hahaha!” Awe dan Syariful terus ketawa. Aku sudah agak perkara ini akan berlaku.

“Aku tak kisah kalau kau nak kapel dengan siapa pun… tapi takkan dengan dia?” sampuk Awe. Sebenarnya aku, Syariful dan Awe serta semua pelajar lelaki batch aku kenal dengan Balqis, dengar kata dia dah berpunya. Buktinya ramai kawan-kawan aku yang pernah cuba pikat dia, tapi semuanya menemui jalan yang buntu. Akhirnya aku termenung sekali lagi.

“Kesian pulak aku tengok kau ni… Fikir elok-elok, betulke kau serius nak dapatkan dia?” pujuk Syariful pada aku. Barangkali dia sangka aku sentap dengan apa yang dikatakan oleh Awe sebelum ini. Hendak sahaja aku jawab, sedangkan yang bertunang pun boleh putus, inikan pula yang belum ada apa-apa ikatan.

“Jangan pula kau nak bagi alasan bertunang pun boleh putus, kahwin pun boleh cerai sudahla…” aku terkesima dengan kata-kata Awe. Seakan-akan dia mampu mengagak apa yang ada dalam fikiran aku.

“Apa kata kita cuba dulu…” aku cuba memberi jalan keluar bagi masalah ini.

“Maksudnya?” soal Awe.

“Maksud kau, kita rangka rancangan untuk memikat Balqis untuk kau?” Syariful menanti jawapan aku dari soalannya. Aku tersenyum. ‘Ya,’ desis hatiku. Rancangan pertama aku adalah untuk dapatkan nombor telefon Balqis. Sumbernya sudah tentu Awe.

Aku hantar SMS bertanyakan tentang jadual exam STPM, namun tak dijawab. Lantas aku terus menelefonnya, namun masih tak dijawab. Pasrah. Itulah perkataan yang sesuai untuk mimik muka aku sewaktu bertemu Syariful dan Awe keeseokan harinya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
 “Aku rasa macam tepuk sebelah tangan la…” aku mengadu kepada mereka. Syariful cuba memotivasikan aku kembali dengan berkata,

“ Sabar… Cinta ni kalau nak dapat yang berkekalan lebih lama adalah yang susah kita nak dapat… Kalau senang dapat, senang jugaklah dapat kepada orang lain pula”

Ada benarnya juga kata Syariful. Yang susah kita perolehi adalah yang sentiasa disisi, yang senang kita dapati adalah yang sentiasa berlalu pergi. MP3. Entah mengapa aku asyik terpandang MP3 kepunyaan Awe. Hendak kata kerana warnanya yang hijau, itu bukan musababnya. Akalku ligat memikirkan sesuatu yang berkaitan dengan MP3 kepunyaan Awe. Akhirnya setelah jenuh berfikir, aku punyai satu idea baru untuk memikat Balqis.

“MP3 ni boleh record tak?” soal aku spontan. Awe mengiyakan soalan aku. Aku terus menjelaskan idea baru aku tersebut.

Idea aku berbunyi begini, ibaratkan aku sedang membaca al-Quran. Tiba-tiba datang Awe dan Syariful mendekati aku untuk bertanya tentang seorang pelajar perempuan bernama Balqis dan sepuluh keistimewaannya. Katakanlah bahawa di asrama pelajar lelaki, semua sudah tahu bahawa aku dan Balqis sering dikaitkan bersama. Walaupun hakikatnya adalah tidak pernah berlaku. Bahkan, Syariful dan Awe merakamkan jawapan aku di luar pengetahuan aku. Sekurang-kurangnya itulah ideanya.

“Tapi kau nak baca surah apa?” soal Awe kehairanan.

“Erm… surah apa ek?” Syariful juga tak dapat membantu.

“Kalau surah an-Nisa’ boleh? Sebab surah tu banyak sebut tentang wanita…hehe…”

“Boleh, tapi baca ayat yang tengah-tengah. Kalau awal ayat nanti nampak sangat buat-buat” jawab Awe. Kami ketawa bersama.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Awe telah menghantar rakaman MP3nya kepada seorang pelajar perempuan yang mengenali Balqis. Awe memberitahu aku bahawa Balqis telah mendengar rakaman tersebut. Responnya dingin. Tak teruja. Barangkali kerana aku bukan lelaki idamannya. Sekurang-kurangnya itulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan keadaan aku pada waktu itu.

Sungguhpun aku tak berjaya dalam memikat Balqis melalui percubaan rakaman MP3, namun berita mengenai aku sedang hangat bercinta dengan seorang pelajar perempuan di sekolah aku telah mengejutkan aku. Bukan kerana aku tidak menyangka pelajar sekolah ini sukakan gosip, tetapi aku terkejut bila mendapati pelajar perempuan yang dimaksudkan dalam gosip liar itu adalah bukan bernama Balqis. Bukan Balqis, sekali lagi aku ulangi. Mungkin sebab itulah ia dikatakan gosip liar.

Oleh kerana ia adalah gosip maka aku biarkan ia berlalu ibarat dedebu pasir yang sering mengkaburi mata si pengembara. Aku teruskan usahaku untuk memikat Balqis. Kali ini melalui propaganda hadiah. Dalam loker atau almari aku ada satu hadiah bebola kaca yang didalamnya terdapat satu ukiran ikan dolphin biru. Aku ambil satu kertas yang ada kesan koyak, lalu aku tulis :

JADILAH SEPERTI DOLPHIN BIRU, YANG SENTIASA CANTIK TANPA DIPENGARUHI ANASIR LUAR KERANA DILINDUNGI KACA.  

Lalu aku konyokkan kertas tersebut. Aku menunggu Awe di bahagian tangga asrama. Apabila Awe turun sahaja melalui tangga tersebut, aku menyuruh Awe untuk memberikan hadiah itu bersama kertas yang dikonyokkan tadi untuk diserahkan kepada Balqis. Aku memberi jalan cerita kepada Awe tentang hadiah itu. Jalan ceritanya seperti ini, Awe telah nampak aku buang hadiah ini dalam tong sampah. Awe ambil hadiah tersebut dan bertanyakan kepada aku,

“Hadiah ni kau nak bagi kat Balqis kan?”

Aku menjawab, “Ya…”. Itulah jalan cerita yang aku asaskan kepada Awe untuk memberikan hadiah ini kepada Balqis. Seperti biasa, responnya masih sama. Aku kembali pasrah. Huhh…
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Syariful datang kepada aku sambil menasihati aku jangan terlalu mengikut perasaan. Jangan diikutkan darah remaja. Namun aku seakan sudah tidak berdaya. Segala daya dan upaya aku sudah digunakan untuk menafikan fitrah selama ini.

“Elok kau solat istikharah…itu yang terbaik…” ujar Syariful.

“Aku bukan tak nak buat, tapi aku takut semua ni mainan perasaan sahaja…”

“Kalau kau yakin ini mainan perasaan, takkan kau beriya-iya buat segala macam rancangan untuk pikat Balqis… Jangan ingat kau seorang sahaja mastermind, ada lagi Maha Mastermind yang punyai kuasa mutlak merealisasikan segala perancangan manusia.”

Nasihat Syariful benar-benar membuatkan aku terjaga dari lamunan. Aku tahu segala percaturan aku bakal mejadi sia-sia jika tidak disusuli dengan permintaan hamba kepada Pencipta. Malam itu juga aku beristikharah sebanyak dua rakaat memohon agar dibuka jalan yang selamat dalam menghadapi masalah ini. Namun jauh disudut hatiku mengharapkan agar ini bukanlah satu masalah tetapi satu rahmat yang membawa tuah. Aku harapkan Balqis menjadi yang terbaik untukku. Akan tetapi semuanya terletak di atas kekuasan-Nya.

Keesokan harinya, kehidupan aku kembali normal. Tiada lagi fikiran yang ligat memikirkan strategi dan taktik memikat Balqis. Hidup aku berhadapan dengan cubitan perut oleh Miss Nini. Juga berhadapan dengan gemuruhnya jiwa dalam menjawab kertas soalan peperiksaan STPM.

Selesai sahaja menjawab kertas subjek terakhir peperiksaan STPM, aku terus pulang ke asrama secara sendirian. Aku hantar SMS kepada Awe untuk bertanyakan sama ada dia dapat jawab soalan kertas tadi atau sebaliknya. Bukan itu saja, dalam SMS itu aku nyatakan bahawa aku ada satu lagi idea untuk memikat Balqis.

 Tiba-tiba, tanpa disangka, aku menerima satu SMS dari Balqis

‘Dah buang tebiat ke Balqis ni? Tak pernah-pernah SMS aku sebelum ni…’ getus hatiku. Aku terus membacanya,

‘Alhamdulillah… Saya dapat jawab… Awak? Anyway, thanks coz awak bagi hadiah dolphin tu. Saya hormati perasaan awak tapi kenalah minta izin dari mak saya dulu. Baru kena caranya.’

Aku menjerit sendirian dalam bilik air kerana mengalami dua perasaan emosi dalam masa yang sama. Emosi pertama adalah gembira kerana perasaan aku ni tidaklah bertepuk sebelah tangan. Tapi emosi kedua adalah malu kerana tersalah hantar mesej kepada Balqis yang sepatutnya aku hantar kepada Awe. 



“Alahai…” aku mengeluh sebagai tanda pasrah dan malu sekali lagi. 

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

HAA NAUFAL CERITA SAL DIRI SENDIRI ERK????HIHIHI

Tanpa Nama berkata...

emm saye puji balqis...
n naufal pandainyer gune strategi

Naufal Tarmizi berkata...

aku = Nasrul...bukan naufal...hehe

Tanpa Nama berkata...

huhuuu~~~~dah tauu dahh kisah sbnr..btolkan kisah sendiri...huhu...
lam cter nii bkn nasrul=naufal jerr ade strategii balqis pom ade strategii jgk~tggu hbs exam...sweet2!! moge dipanjangkan jodoh hingge ke akhir hanyat...amin.. insyaALLAH (",)

Naufal Tarmizi berkata...

ini cerpen... bukan luahan hati kisah sebenar...haha