27 Mac 2011

Dulu Aznil, Kemudian Azwan Ali, Skang Sarimah Ibrahim...

Sudah berkurun blog ni ditinggalkan, tanpa sebarang berita dari pemiliknya. Maklumlah kadang2 bz, kadang2 xde kontroversi dan kadang2 malas tiba2 menjadi-jadi... Maka, kalo aku dah post entri terbaru, meaning that something awesome had happened to me....

Semalam (sabtu---26 Mac 2011), aku ditugaskan menjadi hos dalam sebuah majlis pra-handover projek Kolej Sains yang aku anggap sebagai yang tercanggih dan unik binaannya di Malaysia. Dah terasa bukan kat Malaysia dah. Dewannya saja dah macam dewan Konsert berskala besar. So sapa kata orang melayu tak boleh bina bangunan baguih2...hehe

Semalam jugak aku jadi MC bersama dengan akak Sarimah Ibrahim. Tak percaya? Sila klik link ini ....

Well, memang dia layak dapat pengacara TV terbaik 2010... sebabnya banyak sangat perkara yang dia boleh control semasa handle majlis. Manakala aku, aku hanya ada satu masalah. Aku seperti Jimmy Shinley diatas pentas semasa konsert AF. Tahu kan masalahnye apa? Masalahnya : BILA LA AKU BOLEH BERCAKAP...haha... Dah akak Sarimah banyak celoteh sampai kadang2 aku pun xdapat nak mencelah. Tetapi dengan berbekalkan persediaan secukupnya, aku cuba untuk mengimbangi masalah itu. Hasilnya adalah seperti semalam la.Aku pun xtahu apa hasilnya...


Ok, cukuplah sekadar ini sahaja. Aku nak buat invois ni, esok dapat payment!!!

SOALAN AKAK SARIMAH : 
Serious ke nak masuk dalam bidang Entertaintment ni... 
AKU JAWAB : Sampingan jer...

06 Mac 2011

(CERPEN) Kasih Di Balik Warna

Saat citra cinta memberi senyum tawa kepada hati setiap insan, pasti terselit kisah hadangan yang memberi ikatan kasih pasangan semakin renggang. Bahkan, hadangan itu juga kadangkala mengukuh lagi sejarah cinta insan.

Baihaqi, pemuda sasa yang tangkas berbicara. Pemidato terkenal dalam kalangan pemimpin mahasiswa. Bicaranya tidak becok, hanya diserlahkan tatkala disapa dan ketika ruang bicara diberikan kepadanya. Andai dipersoalkan kepadanya soal kasih dan cinta, sudah tentu senyumnya membebat segala bicara sehingga lidahnya kelu tanpa kata.

Di sisi fikrah yang lain, muncul pula gadis jelita bernama Nusaibah. Pendiam. Tidak banyak butir kata yang membisik halwa telinga. Setiap tindakannya sederhana sahaja. Tidak terlalu ke depan dan tidak pula mundur ke belakang. Jika soal kasih dan cinta yang dititipkan, Nusaibah hanya melafazkan, “Adakah dia sama warna dengan keluargaku?”.

Baihaqi membonceng motosikalnya sambil memecut laju hampir 100km/jam. Kelajuan yang digunakan disulami harapan agar sempat sampai ke kuliah yang seharusnya sudah bermula 10 minit yang lalu. Bukan sengaja dan bukan selalu Baihaqi terlewat ke kuliah. Ini kali pertama. Itupun kerana Baihaqi terpaksa menggantikan rakannya untuk berpidato di sudut pidato.

‘Habislah…’ desis hatinya. Sesekali dia melihat jam tangan. Kiranya jika doanya akan dimakbulkan Tuhan, sudah pasti dia akan meminta detik dan saat kaku seketika. Akhirnya, selepas berhempas pulas dengan kegelisahan mengejar waktu, Baihaqi tiba juga di fakulti.

“Assalamualaikum…” sapa Nusaibah dari belakang.

“Wa…Waalaikumussalam…” Baihaqi terpaku seketika. Hatinya berbisik bahawa tiada lagi gadis di fakultinya yang berani untuk memberi salam kepadanya. Bahkan kejelitaan gadis itu membuatkan dada Baihaqi terasa sesak dan jantungnya berdegup kencang. Cepat-cepat Baihaqi memperbetulkan kedudukan motosikalnya.

‘Astaghfirullah…’ bisik hati kecilnya.

“Maafkan saya. Boleh pinjam helmet tak? Sekejap je…”

Permintaan Nusaibah tidak dijawab Baihaqi. Baihaqi masih memandang ke arah lain. Tangannya seringkali memperbetulkan kedudukan helmet, sekejap diletakkan di side mirror, kemudian diubah ke tempat duduk dan seterusnya diubah pada kedudukan yang lain. Seakan hilang punca. Namun Baihaqi masih tidak berganjak dari kedudukannya sejak dari  Nusaibah memberi salam kepadanya lagi.

“Erm, maaf la yer. Kalau tak boleh, takpe lah…” ujar Nusaibah dalam nada lemah. Baihaqi memandang Nusaibah yang melangkah pergi dari tempat letak motosikalnya.

‘Ya Allah… Apa yang aku fikir ni? Dia nak pinjam helmet je pun…’ kali ini hatinya berbisik memujuk diri supaya memberi sahaja helmetnya kepada  Nusaibah.

“Saudari!” panggil Baihaqi.

Nusaibah menoleh. Baihaqi tersenyum, kali ini dibiarkan segala persepsi yang membelenggu diri. Ditunjukkan helmetnya kepada Nusaibah. Nusaibah memberi isyarat supaya Baihaqi untuk tunggu sebentar. Nusaibah melangkah menghampiri Baihaqi dan mengambil helmet Baihaqi.

Pin! Pin! Pin!

Bunyi hon skuter kepunyaan Najwa menyebabkan Nusaibah bergegas meninggalkan Baihaqi. Baihaqi hanya memerhatikan gelagat Nusaibah dengan senyuman di bibir. Inilah kali pertama dia berkelakuan begini. Hatinya berasa gelisah tatkala berhadapan dengan Nusaibah. Petanda jodoh seringkali muncul dibenak fikirannya, namun ditepis mentah-mentah oleh egonya.

“Alamak! Dah lewat 20 minit!” lamunannya terhenti akibat waktu yang tidak pernah menunggu.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Kau gila ke? Kau tahu ni helmet siapa?” soal Najwa seperti tidak percaya apa yang telah dilakukan oleh rakannya itu.

“Tahu. Tapi saya tak ada pilihan,”

Najwa hanya mampu menggelengkan kepala. Namun sesekali dia mengusik Nusaibah bahawa pemilik helmet ini barangkali menjadi pemilik hati peminjam helmet ini. Nusaibah pantas menafikan.

“Najwa… Nanti awak tolong hantarkan helmet ni kepada tuannya boleh?”

“Malu ke?” usik Najwa. Nusaibah menjeling tepat ke arah muka Najwa.

Nusaibah bukannya malu untuk berjumpa dengan Baihaqi. Tetapi tindakannya yang beredar tanpa mengucapkan terima kasih menyebabkan dia rasa bersalah. Walaupun telah dijelaskan kepada Najwa, namun Najwa masih berdegil menginginkan Nusaibah menghantar sendiri helmet tersebut kepada tuannya.

Dalam masa yang sama, Baihaqi yang baru sahaja selesai mengikuti kuliah bersiap sedia untuk pulang. Mindanya masih ligat memikirkan siapa gadis yang baru menyapanya semasa dia baru sahaja sampai ke tempat kuliahnya.

Sambil menghidupkan enjin motosikalnya, Baihaqi mengambil songkok dikepalanya dan diletakkan dalam raga motosikal. Seakan ada yang kurang. Itulah yang dirasakan Baihaqi saat ini. Termenung jauh seketika. Sesekali lidahnya basah berselawat untuk mengenalpasti apa kekurangan yang dirasakannya. Jari-jemarinya mengusap muka dan kemudian dituruti usapannya di kepala.

“Ya Allah! Helmet!” Baihaqi baru teringat bahawa helmetnya telah dipinjam oleh gadis yang baru sahaja bermain difikirannya. Dia tidak dapat mempercayai bahawa dia telah memberi helmet kepada seseorang tanpa mengetahui bila dan bagaimana helmetnya akan dipulangkan.

“Ni mesti aku kena pukau…” usik dirinya sendiri. Baihaqi mematikan enjin motosikal.

“Err… Baihaqi…”

Sekali lagi Baihaqi tersentak dengan sapaan suara gadis dari belakang. Dia kenal benar suara tersebut. Bahkan sepanjang pengetahuannya, belum ada suara selembut itu memanggil namanya. Dia menoleh untuk melihat siapa gerangan gadis yang memanggil namanya.

“Oh…awak,”

“Ya... saya yang pinjam helmet awak. Sekarang saya nak pulangkan helmet ni. Sorry sebab tak ucap apa-apa sebelum saya pergi…” jelas Nusaibah.

Dengan senyuman Baihaqi mebalas, “Tak mengapa… Ingatkan saya kena pukau tadi… Nasib baik bukan.”

“Pukau?” soal Nusaibah kehairanan.

“Yela. Entah macam mana saya boleh bagi awak pinjam helmet kesayangan saya tanpa saya tahu latar belakang awak…”

Nusaibah hanya mampu ketawa kecil.

“Tapi…jangan salah faham yer… Saya bukan nak tanya nama awak… Saya cuma…”

“Nusaibah...” balas Nusaibah.

“Nusaibah?”

“Ya. Saya pulang dulu yer. Kawan saya dah lama tunggu…” Nusaibah melangkah pergi dan berlalu dari situ. Baihaqi memandang sahaja pemergian Nusaibah sehinggalah hilang di pandangan matanya.

‘Nusaibah…’ desis hatinya.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Keadaan selepas graduasi sememangnya sukar bagi sebahagian para graduan. Terpaksa bergelut dengan cabaran pasaran kerja yang melibatkan banyak persaingan. Banyaknya persaingan menandakan banyaknya pengorbanan dan korbannya. Baihaqi pula lebih selesa mengusahakan perniagaan keluarganya.

“Sudahlah tu. Rehat sekejap.  Mari minum air teh ais yang Mama buat ni…”

“Baiklah, Mama.” Balas Baihaqi kepada permintaan Mamanya. Air teh ais sememangnya kegemaran Baihaqi. Kehidupan keluarganya hanya berkisar tentang kehidupan ibu dan anak sahaja yakni hanya tinggal mereka berdua sahaja. Kesemua saudara-mara yang lain menyisihkan diri akibat pengaruh warna dan bendera yang berbeza.

“Baihaqi, kamu tak fikir ke untuk menikah, nak?” soal Mamanya lemah. Lemahnya Mama Baihaqi bukan kerana tua tetapi kerana keletihan mempertahankan maruah keluarga dan aib arwah suaminya. Semasa arwah suaminya masih hidup, mama cukup kuat dalam menangkis pelbagai serangan sama ada dari jiran tetangga mahupun darah daging sendiri.

Persoalan yang diutarakan Mama kepada Baihaqi tidak mampu dijawab. Walaupun di hatinya sudah ada yang mendiami. Mama melihat sayu ke arah muka Baihaqi.

“Kalau kamu masih belum ada yang kamu berkenan, mak boleh rekemen-kan… Tu ha! Anak Ustaz Hashim Majdi, keturunannya baik-baik belaka… Kalau tak nak jugak, anak Dr. Yaakob Aziz pun ada… Baru habiskan pengajian dari Univirsiti di Jordan…”

“Tak mahulah Mama. Biar masa sahaja yang tentukan…” Baihaqi cuba menidakkan campurtangan mama dalam mencari jodohnya. Ingin sahaja hatinya mengatakan bahawa dia sudah berkenan dengan seorang gadis. Mama seakan sudah mengerti bisik hati Baihaqi.

“Siapa nama gadis tu?” soal Mama ceria. Baihaqi terkejut tatkala mendengar soalan Mama. Mama masih menanti jawapan dari mulut Baihaqi.

“Tak ada siapa-siapa pun,”

“Kamu anak Mama, mustahil mama tak tahu apa yang kamu sembunyikan… Gadis tu sama warna dan bendera dengan kita tak?” pertanyaan Mama dibalas dengan tindakan Baihaqi mengangkat bahu berulang-kali sebagai tanda dia tidak pernah mengambil tahu tentang hal itu.

“Usah pilih sembarangan, nak. Mama harap Baihaqi tahu apa mereka dah lakukan kepada kita semasa arwah Baba masih hidup.” Mama mengingatkan kembali tentang perbuatan puak warna merah yang pernah memulaukan keluarga Baihaqi. Bahkan perniagaan arwah Baba hampir gulung tikar akibat perbuatan penyokong fanatik mereka yang membakar van milik arwah Baba. Hasilnya keluarga Baihaqi dibelenggu hutang sehingga kini.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
‘Mana tas tangan aku ni?’ Ibu Nusaibah tercari-cari tas tangan yang baru dibelinya semalam.  Hampir kesemua sudut biliknya telah diselidiki, namun apa yang dicarinya masih belum dijumpai.

“Nusaibah ada ambil tas tangan ibu tak?” soal Ibu kepada Nusaibah yang sedang masak di dapur.

“Tas tangan yang baru beli tu ke?”

“Ya,”

“Rasanya Ibu letak atas meja ruang tamu semalam,” ujar Nusaibah memberitahu dimana terletak tas tangan ibunya. Ibu segera mendapatkan tas tangan itu. Namun sebelum sempat Ibu tiba ke ruang tamu, Ibu terlihat sekeping gambar di bilik Nusaibah. Ibu mengamati gambar tersebut selama beberapa ketika.

“Ibu, lauk dah siap. Jom makan” Nusaibah memanggil Ibu untuk makan malam bersama.

“Gambar siapa dalam bilik Nusaibah?” soal Ibu. Nusaibah hanya menundukkan kepala sambil menuangkan nasi dalam pinggan. Ibu ketawa sendirian. Barangkali ketawanya ibu kerana melihat anak gadisnya yang dikendong selama ini sudah membesar menjadi seorang wanita yang sudah layak diuji dengan tanggungjawab berkeluarga.

“Merah atau Hijau?” soal Ibu.

“Bukan Merah…” balas Nusaibah sambil ternanti-nanti reaksi dari Ibu. Bukan apa, Ibu Nusaibah sememangnya dikenali sebagai ‘orang kuat’ bagi golongan warna ‘merah’. Manalah tahu jika Ibunya menentang mana-mana manusia yang tidak sealiran dengannya.

“Ibu… tak marah?” soal Nusaibah berhati-hati.

“Marah untuk apa? Kamu kan yang nak berkahwin…” jawab Ibu sambil ketawa. Nusaibah menarik nafas lega dan senyuman manis berlesung pipitnya kini kembali terukir.

“Tapi kamu dah janji yang kamu tak akan menentang Ibu kan?” soal Ibu yang kemudiannya dibalas serta-merta oleh Nusaibah dengan anggukan kepala menandakan bahawa dia akan senantiasa menyokong Ibunya. Selesai sahaja menjamu selera, Ibu mengemas dapur dan meja makan. Manakala Nusaibah pula terus ke biliknya.

Dicapainya laptop dan segera melayari internet dengan menggunakan broadband. Bahkan, Nusaibah menghantar SMS kepada Baihaqi supaya chat dengannya melalui YM. Maka bermulalah perbualan maya antara Nusaibah a.k.a. Anak Ibu  dan Baihaqi a.k.a. Mujahidin.

Anak Ibu : Salam…
Mujahidin : Salam… dah makan?
Anak Ibu : dah… Awak?
Mujahidin : Sama dengan awak. Ibu sihat?
Anak Ibu : Sihat. Mama?
Mujahidin : Alhamdulillah… Awak, nak tanya sikit. Boleh?
Anak Ibu : Tanya lah…
Mujahidin : Awak merah ke?
Anak Ibu : Kenapa tanya?
Mujahidin : Kalau awak merah, saya nak awak pilih hijau lepas kita bersama nanti… boleh?
Anak Ibu : Tapi saya dah janji dengan Ibu. Apa kata awak yang pilih merah.
Mujahidin : Sorry. Awak pun tahu sejarah keluarga saya.
Anak Ibu : Tahu…
Mujahidin : Susah kan kalau kita bercinta di negara ni? Huhuhu…
Anak Ibu : Kita pilih yang kuning je lah. Huhuhu…
Mujahidin : Macam lampu isyarat pulak…
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Dua bulan kemudian, Baihaqi dan Nusaibah selamat ditunangkan. Pertunangan yang berlangsung secara sederhana. Hanya saudara-mara terdekat dan jiran tetangga sahaja dipanggil bagi memeriahkan hari pertunangan Baihaqi dan Nusaibah.

Sebulan kemudian, di kala matahari memancarkan beningnya, Ibu Nusaibah baru sahaja pulang dari meghadiri perjumpaan jawatankuasa wanita. Nusaibah pula sedang leka menonton televisyen. Kelekaannya menonton siaran telesvisyen menyebabbkan dia tidak sedar bahawa Ibunya telah pulang ke rumah.

“Bertuah punya anak…”

“Eh, Ibu… Bila balik?”Ibu hanya menggelengkan kepala pasrah dengan kelekaan Nusaibah menonton siaran televisyen sehingga tidak sedar akan kepulangannya. Pasrahnya sementara sahaja. Ibu duduk bersebelahan dengan Nusaibah di kerusi sofa. Selang beberapa minit, iklan kewajipan mengundi disiarkan sempenan Pilihanraya yang hampir menjelma.

“Nusaibah masih ingat janji Ibu kan?” soal Ibu kepada Nusaibah.

“Saya ingat,”  balas Nusaibah.

“Oleh sebab Ibu tahu anak Ibu ni takkan menentang Ibu… Ibu nak Nusaibah putuskan pertunangan dengan Baihaqi…”

Berderau darah Nusaibah tatkala mendengar kata-kata itu dari mulut Ibunya. Ibunya yang pada suatu ketika dahulu merestui hubungan dia dan Baihaqi kini cuba bertindak sebagai pemutus ikatan kasih sementara antaranya dan Baihaqi. 

“Apa yang ibu kata ni? Ibu sedar tak apa yang ibu kata?” soal Nusaibah cemas sambil keadaan matanya ibarat kaca yang retak.  

“Ibu dengar yang keluarga Baihaqi adalah keluarga yang radikal. Ibu takut hidup anak Ibu rosak nanti…” Ibu cuba menjelaskan niatnya memutuskan pertunangan Nusaibah dan Baihaqi. Namun, penjelasan itu belum cukup meredakan emosi Nusaibah yang sudah tersentap dengan permintaan ibunya. Genangan air mata di tebing kelopak mata Nusaibah mula membasahi pipinya. Nusaibah mengunci diri di biliknya.

“Nusaibah… Nusaibah… Ibu nak Nusaibah ifikir masak-masak pertunangan dengan Baihaqi... Ibu tak nak anak Ibu ni dipulau orang kat sini… itu saja” Ibu cuba memujuk Nusaibah dari luar bilik. Nusaibah masih mengunci diri dalam biliknya. Tiada satu suara kedengaran melainkan suara tangisan teresak-esak sahaja.

“Baiklah… kalau kamu nak kunci dalam bilik, biar Ibu bantu. Mulai hari ini kamu tak boleh keluar dari bilik ini sehinggalah Baihaqi sendiri datang untuk putuskan pertunangan kamu!” ujar Ibu Nusaibah sambil mengunci bilik Nusaibah dari luar.

‘Lebih baik aku telefon mama Baihaqi’ bisik hati Ibu. Ibu segera mencapai telefon dan terus menelefon Mama Baihaqi. Ibu menjelaskan niatnya untuk memutuskan pertunangan dengan Baihaqi. Mama pula bersetuju untuk memutuskan pertunangan Baihaqi dan Nusaibah atas sebab baru sahaja mengetahui bahawa keluarga Nusaibah adalah bukan dari orang yang memilih Hijau.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Kamu tipu Mama!”

Baihaqi yakin bahawa mamanya sudah mengetahui bahawa keluarga Nusaibah bukan dari kalangan warna dan bendera yang sama dengan apa yang diharapkan oleh Mama.

“Anak tak kenal budi! Kamu nak sangat manusia yang membunuh baba kamu kan…Pergi! Pergi jilat semua ludah mereka!” tengking Mama terhadap Baihaqi. Baihaqi melutut di kaki kiri mama untuk memohon maaf.

“Sudah! Mulai hari ini, mama nak kamu putuskan pertunangan dengan Nusaibah,” kata-kata muktamad Mama tersebut menyebabkan Baihaqi bingkas bangun. Baihaqi menidakkan permintaan Mama dengan menyatakan bahawa cintanya terhadapa Nusaibah bukan kerana atas kisah silam dan bukan juga kerana dendam.

Papp!

Berlinang air mata sang pria ke bumi. Baihaqi mengusap pipinya yang masih berbekas dengan kesan tamparan dari mamanya. Selepas dari peristiwa itu, pertunangan antara Baihaqi dan Nusaibah tidak pernah diteruskan dan tidak juga pernah diputuskan. Pertunangannya tergantung. Ibu Nusaibah kini sudah menjadi calon dan berjaya memenangi Pilihanraya. Manakala Mama Baihaqi pula masih menyimpan dendam kematian suaminya.

Pernah sekali Baihaqi berjumpa dengan Ibu Nusaibah untuk meminta izin supaya pertunangan ini diteruskan sehingga ke jinjang pelamin, namun Ibunya menyatakan bahawa Nusaibah sedang bercuti bersama seorang Dato’ yakni salah seorang ahli perniagaan terkenal di Sarawak.  Namun Baihaqi tak percaya.

Ibu segera menyerahkan gambar percutian Nusaibah bersama seorang lelaki yang dikatakan ahli perniagaan dari Sarawak yang berpangkat Dato’ tersebut. Hati Baihaqi luluh sekali tatkala melihat gambar yang diberikan oleh Ibu Nusaibah.

Akhirnya dengan hati berat dan pedih, Baihaqi bersetuju untuk melepaskan Nusaibah dari ikatan pertunangan. Kesudian Baihaqi untuk memutuskan pertunangan ini didengari  Nusaibah. Nusaibah bergegas mendapatkan Baihaqi, namun gagal kerana pintu biliknya dikunci dari luar.
Dalam linangan air mata, Nusaibah tunduk kaku pasrah dengan segala aturan-Nya.  Dia hanya mampu berkata dalam nada yang sebak,

“Ya Allah, andai jiwa-ku tidak ditentukan untuknya, maka kembalikanlah jiwa ini kepada-Mu…
Andai jiwa ini diimpikan untuk insan lain, maka ku mohon agar aku dibenarkan mencintai-Mu sahaja…”