16 Mei 2012

Kedudukan Sihir Dalam Institusi Masyarakat Dan Perundangan


Oleh : Naufal Tarmizi
{Petikan dari bab Latihan Ilmiah "Sihir : Pembuktian Di Mahkamah"}

3.1 PENGENALAN

Sihir berasal dari perkataan as-sahar ( السحر ) iaitu bermaksud masa antara akhir malam dan awal siang.[1] Defenisi ini menggambarkan bahawa sihir itu ada persamaannya dengan kegelapan malam yakni suatu waktu yang sukar untuk dilihat secara jelas dengan mata kasar. Menurut Kamus Dewan, ilmu sihir ini diperincikan kepada ilmu guna-guna[2], mantera, ilmu pukau[3], ilmu tuju-tuju[4] dan sebagainya yang dapat menyakiti ataupun mempesona orang.[5]

Bahkan Allah Taala telah berfirman yang bermaksud –
“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”[6]

Dalam ayat tersebut telah dijelaskan bahawa ilmu sihir telah menapak dalam peradaban manusia sejak dari zaman kewujudan bandar Babylon dan ia diajarkan kepada manusia oleh syaitan sebelum diturunkan malaikat Harut dan Marut.[7] Namun begitu, para sejarawan mempunyai pendapat yang berbeza dalam mengenalpasti zaman permulaan kewujudan amalan sihir dalam masyarakat. Menurut sejarawan Islam, ilmu sihir ini telah bertapak bermula pada zaman Nabi Idris (a.s.) yakni sewaktu malaikat Harut dan Marut[8] diturunkan di negeri Babylon.[9]

Dalam bab ini, penulis akan memfokuskan amalan sihir dalam kehidupan masyarakat di dunia. Ilmu sihir ini sememangnya telah menjadi salah satu ciri signifikan kepada kehidupan manusia. Ini dibuktikan dengan kemunculan pelbagai kepercayaan kepada semangat atau hantu seperti animisme dan kemunculan pelbagai artifak dan monumen sejarah berkaitan dengan teks, peralatan serta upacara ritual yang hampir sama dengan amalan pelaksanaan sihir pada hari ini.

Bahkan dalam bab ini juga akan dijelaskan kedudukan dan penerimaan sihir dalam statut dan undang-undang yang pernah digunapakai oleh beberapa tamadun dan negara. Terdapat beberapa undang-undang yang pernah digunapakai untuk mengekang amalan sihir. Antaranya adalah seperti yang termaktub dalam Kod Visigoth yang melabelkan amalan sihir sebagai kesalahan idolatory (ajaran sesat) dan hukumannya adalah diikat di pancang dan dibakar. Namun Kod Visigoth hanya digunakan dalam kesalahan yang berkaitan dengan kesalahan agama Kristian atau lebih dikenali kesalahan ecclesiastical kerana amalan sihir bukan satu kesalahan besar menurut common law.[10]

Ini ditambah lagi dengan kata-kata Martin Luther, seorang tokoh pemikir Barat iaitu:
“One should show no mercy to these [women]; I would burn them myself, for we read in the Law that the priests were the ones to begin the stoning of the criminal.”[11]
Ia bermaksud “Kamu tidak patut menunjukkan rasa kasihan kepada pengamal sihir; aku sendiri akan membakar mereka, kerana kita tahu di dalam undang-undang, paderi adalah orang yang mula-mula akan merejam batu kepada penjenayah”.  Bahkan Saidina Umar al-Khattab sendiri pernah menetapkan hukuman bunuh ke atas ahli sihir sama ada lelaki atau wanita berasaskan amalan para sahabat di mana para sahabat pernah membunuh tiga orang ahli sihir.[12]

3.2 KEDUDUKAN SIHIR DALAM MASYARAKAT

Setiap lapisan komuniti masyarakat di mana-mana negara di dunia mempunyai gelaran tersendiri yang diberikan kepada pengamal teknik luar biasa dalam bidang tertentu terutamanya dalam bidang rawatan tradisional. Umumnya di kawasan Nusantara terutamanya Malaysia, gelaran seperti bomoh, pawang, tok batin dan dukun adalah tidak asing bagi masyarakat setempat. Bahkan negara-negara di benua lain turut mempunyai gelaran tersendiri bagi golongan pengamal ilmu luar biasa ini. Contohnya witchdoctor, sorcerer, sangoma,[13] toa mali[14], jhakri dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan.

Sungguhpun gelaran ini diberikan kepada individu yang mempunyai kepakaran luar biasa, namun tidak semuanya menjurus kepada ahli sihir. Ada juga antara golongan ini mempunyai kepakaran luar biasa dengan hanya menggunakan teknik petua orang terdahulu seperti rawatan dengan herba dan tumbuhan semula jadi. Bahkan tidak semua dari mereka mahu dipanggil ahli sihir kerana panggilan tersebut adalah bersifat pesimistik dan negatif dalam hierarki masyarakat.

Adalah menjadi suatu perkara yang janggal apabila pengamal sihir itu sendiri mengaku bahawa dia adalah ahli sihir. Jarang sekali wujud pengakuan dari mulut pengamal sihir tentang amalan sihir yang dilakukannya.[15] Faktor ketiadaaan pengakuan inilah yang menjadikan masyarakat gemar mendapatkan perkhidmatan dari pengamal sihir bagi memenuhi keperluan atau kehendak tersendiri. Ini kerana pandangan negatif masyarakat terhadap ahli sihir hanya akan wujud apabila pandangan berkenaan terhadap orang yang disyaki ahli sihir itu dikongsi bersama dengan ahli masyarakat yang lain.

Masyarakat sememangnya memandang ilmu sihir sebagai satu ilmu hitam dan bertentangan dengan norma kehidupan manusia biasa. Namun, ada kalanya masyarakat terpedaya dengan tipu helah pengamal sihir dengan pelbagai identiti yang mampu memupuk kepercayaan dalam kalangan anggota masyarakat setempat seperti imej keagamaan, kekayaan dan berpengaruh. Abdul Basir Mohamed ada menjelaskan bahawa keadaan tersebut adalah tidak ubah seperti seorang pekerja yang menggunakan nama baik jabatan bagi melakukan perkara yang merosakkan imej jabatan itu sendiri.[16]

Sungguhpun pengamal sihir dan pengamal perubatan tradisional sering dikaitkan oleh masyarakat sebagai golongan yang sama, namun hakikatnya adalah berbeza. Ini kerana pengamal sihir mempunyai kaedah pembelajaran yang tersendiri dan semestinya memerlukan persepakatan antara manusia dan jin.[17] Manakala pengamal perubatan tradisional pula menjalankan kaedah perawatannya berdasarakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajarinya oleh masyarakat terdahulu tanpa perantaraan makhluk ghaib.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa masyarakat sememangnya memandang negatif dan menolak sekeras-kerasnya amalan sihir, namun dalam masa yang sama, mereka juga menyokongnya tanpa sedar. Hal ini berlaku kerana masyarakat sering terkeliru antara amalan yang dikatakan sihir dengan amalan perubatan secara tradisional. Ini dapat dilihat dalam sejarah perkembangan sihir itu sendiri.

3.2.1 Amalan Sihir Dalam Tamadun Awal Manusia

Masyarakat Sumeria dalam Tamadun Mesopotamia sering dikenali sebagai masyarakat pertama mengetahui tentang taktik peperangan, mampu meramal tindakan ketenteraan berasaskan tilikan dan tidak mempunyai cita-cita untuk berperang. Bahkan tamadun ini juga dikenali dengan ilmu astronomi seperti ilmu mengenali pergerakan bintang dan planet-planet. Hakikatnya ilmu itu disalahgunakan bagi tujuan sihir. Pengaruh amalan sihir ini merasuk setiap pelusuk penjuru negara kota Mesopotamia tanpa mengira lapisan hierarki negara kota. Walter Farber menjelaskan bahawa golongan bangsawan dalam tamadun ini menguasai ilmu sihir kerana meraka mampu membaca mentera sihir secara bertulis.[18] Kepercayaan mereka banyak dipengaruhi dengan bentuk sihir yang diamalkan iaitu beraskan pergerakan bintang-bintang ataupun planet tertentu.

Contohnya penyembahan berhala yang mewakili Musytari adalah bertujuan untuk memperoleh kebaikan, penyembahan Marikh pula dilakukan jika mereka mahukan kebakaran dan penyakit taun, manakala pemujaan patung Zuhal adalah bagi tujuan memohon kematian, bala bencana dan peperangan ke atas seseorang.[19] Bahkan rawatan yang dilakukan pada zaman tersebut mempunyai hubungkait dengan upacara keagamaan yang dicampur aduk dengan ilmu sihir. Contohnya seperti menghalau roh-roh jahat yang memasuki badan dengan menilik pergerakan bintang bagi menentukan sama ada pesakit tersebut sembuh atau sebaliknya.[20] Amalan sihir ini berkembang luas dan menunjangi kehidupan masyarakatnya sehingga Allah Taala mengutuskan Nabi Ibrahim, mereka tetap menolak dakwah Nabi Ibrahim dan memandang rendah mukjizat yang ditunjukkan. Bahkan mereka sanggup membuang Nabi Ibrahim ke dalam api.[21]

Bagi tamadun yang sering dikaitkan sebagai tempat perkembangan pelbagai ilmu mistik yakni Tamadun Mesir, pengaruh amalan sihir dalam masyarakatnya juga berkembang luas sama seperti dalam Tamadun Mesopotamia. Menurut catatan sejarah ada menyatakan bahawa hampir kesemua masyarakat pada zaman tersebut memakai tangkal dan azimat yang dibekalkan oleh ahli sihir.[22] Bahkan ada antara raja atau Firaun yang memerintah tamadun ini mengamalkan ilmu sihir itu sendiri seperti Firaun Niktanibas.[23]

Ilmu sihir dalam tamadun ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu pertama adalah sihir bagi tujuan kebaikan dan manfaat, dan kedua adalah sihir untuk mendatangkan keburukan dan malapetaka.[24] Bahkan dalam kaedah rawatan dan perubatan juga digunakan amalan jampian ilmu sihir. Antara yang terkenal dengan menggunakan kaedah rawatan ini adalah seperti Imhotep, Horus dan Isis.[25] Hanya setelah pengutusan Nabi Musa dan dibantu Nabi Harun bersama mukjizat yang diberikan oleh Allah Taala ke tamadun ini, barulah masyarakatnya mula sedar tentang keburukan ilmu sihir.

Bagi Tamadun Yunani dan Rom pula, perkembangan kemajuan yang dicapai oleh negara kota dan pusat Bandar seperti  Athens, Sparta dan Olymphia telah menyebabkan berlakunya perkembangan pesat dalam pengkajian terhadap kebudayaan tamadun sebelumnya. Antaranya adalah seperti kajian berkaitan dengan bidang perubatan dalam Tamadun Mesir dan Babylon yang banyak menggunakan elemen sihir untuk merawat pesakit.[26] Pada zaman kegemilangan Rom, ahli sihirnya dikenali dengan kebolehan mengenakan sihir kepada seseorang dengan menyebabkan lidahnya kelu dan tidak bermaya, serta boleh menimbulkan permusuhan dengan menyeru roh individu yang sudah mati.[27]

3.2.2 Amalan Sihir Dalam Masyarakat Moden

Hakikat yang perlu diketahui adalah amalan sihir ini merupakan amalan turun-temurun. Dalam erti kata lain, kaedah pembelajaran dan pengamalannya tidak banyak yang berubah. Bahkan para sejarawan mengakui bahawa ilmu sihir ini berpunca daripada satu sumber dan diamalkan di seluruh dunia. Ini dibuktikan melalui persamaan formula atau mentera ilmu sihir yang terdapat dalam satu teks sihir dari Semenanjung Tanah Arab yang dikenali Picatrix dengan formula yang dicatatkan dalam buku A Mannual of Demonic Magic  yang kini dipamerkan di Muzium Negeri Bavaria Munich, Jerman.[28]

Dalam buku tersebut ada dinyatakan tentang peralatan yang digunakan dalam amalan sihir seperti pisau, jarum, patung, bahan-bahan kotor seperti najis, darah burung, gambar atau barang peribadi mangsa, tulang atau tengkorak, tali simpulan dan kain berwarna. Peralatan yang dinyatakan ini tidak jauh bezanya dengan peralatan yang digunakan oleh ahli sihir pada masa kini. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah Taala berkenaan dengan tali simpulan yang digunakan dalam kaedah sihir. Firman-Nya yang bermaksud –
"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk Yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);[29]

Perkembangan agama Islam dalam masayarakat di Tanah Melayu banyak mengubah kepercayaan masyarakatnya yang selama ini mempercayai animisme dan kuat berpegang kepada ajaran Hindu-Buddha. Walaupun akidah dan kepercayaan masyarakat Melayu adalah berasaskan kepada mentauhidkan Allah, namun terdapat beberapa amalan yang masih dipengaruhi ajaran Hindu-Buddha dan ia masih diamalkan oleh sebahagian daripada masyarakat. Contohnya amalan ancak atau acak iaitu upacara sembahan makanan kepada saka. Bahkan pengamal sihir di rantau ini gemar memberikan gelaran kepada jin, syaitan dan iblis dengan nama yang boleh menggaburi mata masyarakat tempatan seperti gelaran dewa, dewi, mambang, Rijalul Ghaib, penunggu, semangat, khadam ayat  dan sebagainya.[30]

Menurut Pak Engku Ansaruddin Agus, sihir pada masa kini mempunyai jenis dan namanya yang pelbagai. Antaranya adalah tuju-tuju, santau, susuk, pukau, sihir pemisah, sihir pembenci, sihir pengasih, sihir gangguan penyakit mental dan fizikal, sihir hubungan suami isteri, sihir wanita, sihir ilmu kekuatan diri dan sihir yang melibatkan objek.[31] Bahkan kesan sihir ini boleh dilihat kepada mangsa seperti penyakit bell’s palsy,[32] sawan atau epilepsy, penyakit chronic arthritis (sakit sendi berpanjangan), chronic fibromygalgia (sengal otot berpanjangan), skizofrenia,[33] anxiety disorder (penyakit kerisauan) dan major depression (kemurungan berpanjangan). Manakala di Indonesia, ilmu sihir yang sering digunakan adalah seperti ilmu santet,[34] ilmu teluh[35], ilmu tenung,[36] dan biring.[37]

Amalan sihir dalam masyarakat moden pada hari ini tidak banyak bezanya dengan masyarakat dalam Tamadun Awal Manusia. Masyarakat moden juga ada yang masih memakai tangkal dan azimat, ada juga yang mempercayai tilikan berasaskan pergerakan bintang seperti zodiak, mempercayai semangat jahat seperti yang dinyatakan dalam prinsip Yin dan Yang atau fengshui, dan amalan sihir ini lebih dikenali sebagai ilmu hitam atau black magic. Bahkan masyarakat beragama Hindu menggunakan yantra[38] dan mantra[39] bagi melindungi diri dari roh jahat.[40]

Dalam kes Mona Fandey, fakta kes yang menunjukan pembunuhan yang dilakukan terhadap ahli politik adalah berasal dari upacara pemujaan makhluk halus atau amalan sihir.[41] Antara cara upacara itu dilakukan adalah seperti cara penyucian dengan menggunakan air bunga-bungaan, kepala mangsa dipenggal, anggota badan diceraikan serta ditanam secara berasingan.

3.3 KEDUDUKAN SIHIR DALAM UNDANG-UNDANG

Undang-undang digubal bertujuan untuk mengekang sebarang perbuatan atau tinggalan yang boleh menjejaskan hak seseorang. Penggubalan ini penting bagi menjaga kepentingan masyarakat daripada terjebak atau mengalami kesan perbuatan atau tinggalan seseorang. Amalan sihir, walaupun sejarah memperlihatkan bahawa ia pernah menjadi amalan masyarakat, namun amalan sihir ini masih mempunyai keburukan yang boleh menjejaskan hak asasi manusia. Oleh itu penggubalan terhadap undang-undang bagi mengekang perkembangan amalan sihir adalah satu kemestian dan wajar digubal.

Pada masa kini, tidak terdapat peruntukan khas mahupun statut khusus berkaitan dengan amalan sihir di dunia terutamanya di Malaysia kecuali di beberapa buah negara Afrika dan Arab Saudi. Punca ketiadaannya sama ada ketiadaan pakar dalam menghuraikan keterangan yang perlu dikemukakan di Mahkamah sehingga menyebabkan undang-undang berkaitan dimansuhkan, ataupun persepsi yang menafikan kewujudan ilmu sihir dalam era modenisasi ini.[42] Antara negara yang pernah atau masih mempunyai undang-undang khas berkaitan dengan amalan sihir adalah seperti : 
        1.      Babylon semasa pemerintahan Raja Hammurabi,
        2.      Rom semasa pemerintahan Julius Caesar,
        3.      Australia di beberapa buah negeri seperti Queensland, New South Wales, ACT, Selatan Australia,  Tasmania dan Victoria,
        4.      Negara Eropah seperti England,
        5.      Negara Afrika seperti Tanzania, Ghana, Kenya, Mozambique, Uganda dan Zimbabwe,
        6.      Negara Asia seperti Arab Saudi dan China.

3.3.1 Undang-Undang berkaitan sihir di Babylon

Babylon merupakan salah satu era pemerintahan yang terkenal dalam Tamadun Mesopotamia. Babylon terbina setelah masyarakat Sumeria ditawan oleh tentera Amorates. Antara pemerintah terkenal Babylon adalah Raja Hammurabi yang hidup bermula dari tahun 1810 sehingga 1750 sebelum masihi. Semasa pemerintahan Raja Hammurabi, Babylon masih dikuasai oleh pengaruh ilmu sihir. Bimbang dengan pengaruh dan keburukan amalan sihir ini, maka Raja Hammurabi telah mengarahkan supaya satu kod undang-undang diperkenalkan bagi mengekang amalan sihir tersebut. Bagi memastikan supaya rakyatnya sedar tentang kewujudan undang-undang tersebut, maka undang-undang itu diukir di atas sebuah batu marmar hitam setinggi lapan kaki di Bandar Babylon. Batu marmar tersebut dijumpai pada tahun 1901 bulan Disember di Khuzestan, Iran dan kini dipamerkan di Muzium Louvre, Paris. Bahkan mengikut catatan sejarah, undang-undang tersebut yang dikenali sebagai Kod Hammurabi merupakan statut undang-undang terawal di dunia.[43]

Kod Hammurabi ada menjelaskan tentang keburukan amalan sihir serta larangan terhadap rakyatnya supaya tidak mengamalkan sihir dalam kehidupan seharian. Bahkan diperuntukkan juga tentang cara pembuktian bagi kesalahan sihir. Contohnya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Code No. 2 :
If any one bring an accusation against a man, and the accused go to the river and leap into the river, if he sink in the river his accuser shall take possession of his house. But if the river prove that the accused is not guilty, and he escape unhurt, then he who had brought the accusation shall put to death, while he wo leaped into the river shall take possession of the house that had blonged to his accuser,” [44]

Dapat difahami bahawa peruntukan tersebut  menjelaskan tentang pembuktian bagi kes tuduhan mengamalkan sihir iaitu orang yang membuat dakwaan tersebut akan direndamkan ke dalam sungai. Jika dia tenggelam dalam sungai tersebut, maka dia akan dikira sebagai bersalah dalam membuat tuduhan palsu. Manakala jika terselamat, orang yang dituduh mengamalkan sihir akan dijatuhkan hukuman mati.[45]

3.3.2 Undang-Undang berkaitan sihir di Rom

Tamadan Rom banyak dipengaruhi dengan kepercayaan Yunani yang mengangkat kewujudan dewa dan dewi yang dianggap sebagai Tuhan. Namun kepercayaan ini mulai pudar semasa pemerintahan Byzantium iaitu di penghujung era pemerintahan Romawi. Kepercayaan Yunani kemudiannya ditukar dengan ajaran kristianisasi. Selepas agama Kristian menunjangi pemerintahan Rom, ilmu dan amalan sihir mula diketepikan.
Hal ini dapat dilihat dengan penggubalan undang-undang yang dikenali The Twelve Tables. Undang-undang ini telah diperkenalkan oleh Julius Caesar dan sihir dikategorikan sebagai jenayah berat yang akan dikenakan hukuman berat.[46] Hukuman tersebut adalah dibakar hidup-hidup sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut iaitu “That is to be decided that persons who are addicted to the art of magic shall suffer extreme punishment. Magicians themselves shall be burned alive.”[47] Undang-undang tersebut terpakai sehingga pada abad ke-17 di Eropah bahkan turut memperuntukkan kesalahan kepada sesiapa yang menyanyikan lagu pemujaan sihir yang dikenali malum Carmen incantarae.[48]

3.3.3 Undang-Undang berkaitan sihir di Australia

Di Queensland, seksyen 432 Kanun Jenayah Queensland jelas memperuntukkan tentang kesalahan pretending to exercise witchcraft or tell fortunes.  Dalam seksyen tersebut telah memeruntukkan barangsiapa mendakwa boleh meramal masa depan dengan menggunakan alatan atau telapak tangan, atau menggunakan apa sahaja jampi mentera, pemujaan atau seumpamanya bagi tujuan mengesan barang curi adalah melakukan satu kesalahan. Namun ia telah dimansuhkan pada 10 November 2000. Peruntukan yang hampir sama juga digunakan di Wilayah Selatan Australia, namun turut dimansuhkan oleh  The Statutes Amendment and Repeal (Public Offences) Act 1991.[49]

Keadaan yang hampir serupa juga di alami di New South Wales, Tasmania dan Victoria. Terdapat beberapa peruntukan yang menyentuh tentang amalan sihir dalam kegiatan penipuan dan mendapatkan harta secara salah, namun terpaksa dimansuhkan kerana dianggap menimbulkan diksriminasi kepada penduduk minoriti yang berbeza fahaman agama dan kepercayaan. Bahkan ketiadaan pakar untuk membezakan antara amalan sihir dan kepercayaan agama menjadi salah satu faktor mengapa pemansuhan peruntukan undang-undang tersebut berlaku.

3.3.4 Undang-Undang berkaitan sihir di Eropah

Pada Zaman Awal Eropah, kebanyakan pemerintah dikuasai oleh golongan gereja. Golongan gereja sememangnya dikenali dengan golongan yang memerangi amalan sihir dalam masyarakat. Ini dapat dilihat dengan tindakan Pope John XXVI yang melancarkan serangan ke atas ahli sihir dalam usaha membanteras amalan sihir dalam masyarakat. Berasaskan pengaruh gereja, kebanyakan pemerintah pada waktu itu di Eropah juga mengutuk amalan sihir dan melarang rakyatnya dari mengamalkan sihir. Antara pemerintah Eropah pada waktu itu yang mengancam membunuh rakyatnya yang mengamalkan sihir adalah King Theodoric (493-526). Bahkan King James VI juga pernah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas ahli sihir. Hukuman yang berat ini dapat dilihat melalui hukuman bakar hidup-hidup pada tahun 1390 yang dikenakan ke atas Jehane de Brigue setelah rawatan yang diberikan kepada seorang pesakit telah dituduh sebagai amalan sihir.[50]

Pada Zaman Pertengahan Eropah, Kod Visigoth telah diperkenalkan dan digunapakai sebagai undang-undang untuk mengekang ajaran sesat seperti ilmu sihir. Sungguhpun begitu, sihir tidaklah dikategorikan sebagai kesalahan berat dibawah common law.[51] Hukuman ke atas ahli sihir kemudiannya ditambah dalam Statut Henry VI pada kurun ke 16, namun peruntukan hukuman tersebut dimansuhkan oleh Edward VI.

Kemudian diperkenalkan pula satu undang-undang baru yang dianggap undang-undang paling ketat semasa pemerintahan Elizabeth I. Ini kerana kesalahan sihir tidak lagi dianggap kesalahan agama Kristian (ecclesiastical) sebagaimana yang termaktub dalam Kod Visigoth, bahkan sihir telah diangkat sebagai satu jenayah besar (felony) dalam common law. Bahkan hukumannya sama seperti hukuman jenayah bunuh iaitu hukuman gantung.[52] Semasa pemerintahan George II, undang-undang tersebut telah diganti dengan Witchcraft Act 1736, yang lebih bersifat ringan hukumannya terhadap pesalah yang mengamalkan sihir.[53]‘spectral evidence’ Hukuman yang dikenakan hanya denda dan penjara sahaja seperti dihukum berdiri selama 1 jam di pasar awam atau dihukum penjara satu tahun. Namun penerimaan pemakaian elemen keterangan  di Mahkamah menyebabkan kekeliruan berlaku sehingga ramai orang tidak bersalah dihukum. Akhirnya akta tersebut dimasuhkan dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.[54] Bagi mematuhi EU Directive, maka akta tersebut dimansuhkan oleh undang-undang perlindungan pengguna (Consumer Protection Regulations).

3.3.5 Undang-Undang berkaitan sihir di Afrika

Menurut Onesmus K. Mutungi, membunuh seorang ahli sihir di Afrika bukan sahaja dibenarkan, bahkan daianggap sebagai perbuatan yang terpuji dalam masyarakat.[55] Peningkatan yang mendadak dalam kes pembunuhan ahli sihir, kebanyakannya golongan wanita, menyebabkan kerajaan di beberapa buah negara Afrika terpaksa menggubal serta meluluskan undang-undang bagi mengawal kegiatan tersebut. Antara undang-undang yang dimaksudkan adalah Witcraft Ordinance 1928  di Tanzania, Witchcraft Suppression Ordinance 1899 di Rhodesia Selatan, Witchcraft Suppression Act 1957 di Afrika Selatan, Zimbabwese Witchcraft Suppression Act 1890 dan  Mpumalanga Witchcraft Suppression Bill 2007.

Undang-undang yang dinyatakan sebelum ini lebih tertumpu untuk menjaga orang yang dituduh melakukan sihir berbanding membendung kegiatan sihir itu sendiri. Ini mungkin disebabkan peningkatan dalam kes pembunuhan golongan wanita dan kanak-kanak yang dianggap sebagai ahli sihir. Namun, terdapat juga negara yang memasukkan kesalahan sihir sebagai kesalahan jenayah dalam Kanun Jenayah seperti yang diperuntukkan dalam Cameroon Panel Code.[56] Hukuman yang dikenakan adalah penjara dua hingga 10 tahun dan didenda 5000 hingga 100,000 francs.

3.3.6 Undang-Undang berkaitan sihir di Asia

Undang-undang berkaitan sihir di benua Asia bermula di negara China semasa pemerintahan Dinasti Yuan (Mongol). Semasa pemerintahan dinasti ini, telah diperkenalkan Kanun Jenayah Dinasti Yuan (Mongol). Penggubalan Kanun tersebut adalah disebabkan oleh amalan penculikan kanak-kanak bagi tujuan sihir. Kanak-kanak yang diculik akan dikelar dan dibedah bagi mendapatkan organ dalaman seperti hati bagi tujuan pemujaan roh.

William Shaw memetik peruntukan dalam Kanun tersebut dengan menyatakan, “Whosoever plucks life out of a man or dismembers him with intent to procure a spectre to sacrifice to, shall be slowly carved to death with knives.”[57], yang dapat difahami bahawa siapa yang mengambil nyawa dan anggota badan (dengan cara memotong) dengan niat untuk dijadikan korban pemujaan roh atau amalan sihir, maka dia akan dikelar anggota badannya dengan pisau.

Di India pula, keadaannya hampir sama dengan keadaan di negara Afrika. Bahkan golongan wanita sering dijadikan sasaran untuk dituduh sebagai Tonhi (ahli sihir). Pada 19 Julai 2005, Witchcraft Atrocities (Prevention) Act 2005  telah diluluskan bagi melindungi kaum wanita yang sering dituduh menjadi ahli sihir.[58]

Manakala di Arab Saudi, kesalahan sihir dikategorikan sebagai jenayah berat dan ia tertakluk kepada budibicara hakim untuk menetapkan hukuman. Namun, sistem perundangan terutamanya dalam membicarakan kes jenayah sihir sering mendapat tentangan dari Human Right Watch. Ini berikutan kes perbicaraan Fawza Salih yang dituduh mengamalkan sihir, tidak diberikan hak untuk membela diri dan bergantung hanya kepada kuasa budi bicara hakim. Bahkan Arab Saudi tidak mempunyai satu undang-undang jenayah secara bertulis yang menyebabkan sistem perundangannya longgar dan tidak konsisten. Hakim di Arab Saudi diberikan kuasa budi bicara untuk mendefinisikan perbuatan yang dianggap jenayah dan menetapkan hukumannya.[59]

3.4 KESIMPULAN

Dapat disimpulkan bahawa kedudukan sihir dalam masyarakat adalah bergantung kepada cara dan metodologi yang digunakan oleh pemerintah sama ada untuk mengangkatnya sebagai satu perkara yang positif ataupun mengekang serta mengawal amalan sihir tersebut. Bahkan sejarah telah memperlihatkan bahawa sihir menyebabkan keruntuhan keharmonian masyarakat dan negara, berbanding kebaikan yang dicanang oleh pengamal sihir itu sendiri. Jika pemerintah turut sama mempelajari dan mengamalkan sihir, sudah pasti rakyat akan mengikuti jejak langkahnya dan begitu juga sebaliknya. Pemerintah yang mengamalkan sihir selalunya akan melakukan kezaliman ke atas rakyatnya seperti Firaun Naktanibas dalam Tamadun Mesir.

Catatan sejarah juga telah membuktikan bahawa pemerintah yang terkenal semasa zaman kegemilangannya telah menggubal undang-undang bagi menyekat amalan sihir seperti Julius Caesar dan Raja Hammurabi. Namun, undang-undang yang digubal ini tidak bertahan lama. Ada di antara undang-undang tersebut terpaksa dimansuhkan seperti di England dan Australia. Faktor pemansuhan ini adalah disebabkan kekurangan pakar dalam membezakan antara amalan sihir dan amalan kepercayaan tradisional, serta ketiadaan pakar dalam menghuraikan serta menjelaskan keterangan dan pembuktian yang lebih diyakini di Mahkamah.


[1] Muhammad Mutawalli al-Sharawiyy, 1990, al-Sihru wa al-hasad, Kaherah : al-Maktabah al-Sharawi al-Islamiyyah, hlm. 24
[2]  Ilmu guna-guna ialah jampi atau mentera untuk memikat hati seseorang.
[3] Ilmu pukau adalah ilmu jampi serapah dengan menggunakan tangkal atau seumpamanya yang digunakan untuk memabukkan orang atau membuat orang tidur lelap.
[4] Ilmu tuju-tuju adalah jampi yang digunakan untuk membuatkan orang jatuh sakit atau mati.
[5] Kamus Dewan Edisi Baru, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 384
[6] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah 2:102
[7] Muhammad Mustafa al-Hadidi al-Thair, 1987, Penyuluh : Arwah, Jakarta : Pustaka Amani, hlm. 103-104
[8] Menurut Syed Ahmad Semait dalam buku Kuliah Subuh, Harut dan Marut adalah dua malaikat yang mahu mempunyai perasaan seperti manusia, lalu dibekalkan nafsu. Apabila diturunkan ke bumi, mereka tergoda dengan keseronokan dunia, lantas membuat perkara maksiat seperti mengajarkan ilmu sihir.
[9] Muhammad Mustafa al-Hadidi al-Thair, 1987, op. cit., hlm. 101
[10] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks. 2003. Luther On Women : A Sourcebook, Cambridge : Cambridge Univesity Press. hlm. 236
[11] Ibid., hlm. 231
[12] Al-Nawawiy, Shahih Muslim, 1924, Juz 14, hlm. 109
[13] Eric Maple, 1973, Witchcraft : The story of man’s search for supernatural power, London : Octopus Books, hlm. 113.
[14] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 28.
[15] William Shaw, 1975, Aspect of Malaysian Magic, Muzium Negara, Kuala Lumpur, hlm. 49
[16] Abdul Basir Mohammed, Amalan sihir & ayat-ayat al-Qur’an : Perbezaan serta kesannya terhadap amalan perubatan, 1999, Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 198-199
[17] Ansaruddin Agus & Mohammad Azlee A. Mutallib, 2011, Perangi Sihir, Selangor : PTS Milenia Sdn. Bhd., hlm. 60.
[18] Walter Farber, 1995, Witchcraft : Magic and Divination in Aencient Mesopotamia, dlm. Jack M. Sasson (pnyt.), Civilization of the Ancient Near East, Edisi 3, Bahagian 8 (Religion & Science), New York : Charles Scribner’s Sons.
[19] Ibrahim Muhammad Jamal, 1982, Haqiqat al-Sihr : Dirasah fi zilali qisasi Qur’ani qa sirah nabawiyyah, Kaherah : Maktabah Qur’an, hlm. 36
[20] Ibid. hlm. 36
[21] Umar Sulayman al-Ashqar, 2002, Alam al-sihri wa al-sha’wazah, Edisi ke-4, Jordan : Dar al-Nafa’is, hlm. 17
[22] Eric Maple, 1973, Witchcraft : The story of man’s search for supernatural power, London : Octopus Books, hlm. 22.
[23] Ibid. hlm. 19-20
[24] Naomi Janowitz, 2001, Magic in the Roman World : Pagan, Jews and Christians, London : Routledge, hlm. 13.
[25] E.A. Wallis Budge, 1988, Egyptian Magic, London : Arkana, hlm. 3
[26] Naomi Janowitz,2001, Op. cit., hlm. 13.
[27] Ahmad Taha, 1992, Kedoktoran Islam, terj. Ismail Ibrahim, Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 5
[28] Umar Sulayman al-Ashqar, 2002, Alam al-sihri wa al-sha’wazah, Edisi ke-4, Jordan : Dar al-Nafa’is, hlm. 169
[29] Al-Quran, Surah al-Falaq 113:4
[30] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 51-52
[31] Ansaruddin Agus & Mohammad Azlee A. Mutallib, 2011, Perangi Sihir, Selangor : PTS Milenia Sdn. Bhd., hlm. 68-109
[32] Penyakit bell’s palsy adalah penyakit lumpuh sebelah muka, iaitu pesakit akan mengadu mukanya senget sebelah apabila melihat pada cermin dan berasa sukar untuk menggerakkan otot muka.
[33] Skizofrenia adalah penyakit gila yang sebenar, yakni pesakit akan mengalami halusinasi dan mendakwa terdengar bisikan untuk melakukan sesuatu, atau mempunyai bizarre delusion (merasakan dirinya terlalu hebat) dan tidak boleh berfungsi sebagai seorang manusia yang normal.
[34] Ilmu santet adalah sihir berbentuk serangan jarak jauh dengan cara memuja objek tak bernyawa seperti kain, serbuk kaca, benang dan kemenyan untuk menyebabkan kesakitan terhadap mangsa tanpa disedari oleh orang yang berada disekeliling mangsa.
[35] Ilmu teluh sama seperti ilmu santet cuma pemujaannya terhadap objek bernyawa seperti katak, lintah dan lipan, bahkan sihir ini dapat dirasai oleh mangsa dan orang disekelilingnya.
[36] Ilmu tenung adalah sihir gabungan cara pemujaan ilmu santet dan teluh. Ia digunakan bertujuan menyebabkan mangsa disakiti secara fizikal atau keluar objek seperti jarum atau kaca dari anggota badan mangsa.
[37] Biring adalah sejenis sihir yang boleh mengakibatkan mangsa mengalami penyakit kulit yang sukar dirawat.
[38] Yantra bermaksud rajah azimat, biasanya dalam bentuk bersegi yang diukir pada emas, perak atau timah. Antara jenis yantra yang terkenal adalah Srichakra.
[39] Mantra pula adalah mantera atau jampi lafaz tertentu yang mengandungi pemujaan dewa-dewi yang ditetapkan untuk tujuan kebaikan ataupun keburukan.
[40] William Shaw, 1975, Aspect of Malaysian Magic, Muzium Negara, Kuala Lumpur, hlm. 9
[41] Juraimi Bin Hussin v PP (1998) 1 MLJ 357
[42] Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 265
[43] Ahmad Taha, 1992, Kedoktoran Islam, terj. Ismail Ibrahim, Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 3

[44] L.W. King, 1910,  Mesopotamia : The Code of Hammurabi. Richard Hooker (pnyt.), Washington State University. http://www.wsu.edu/~dee/MESO/CODE.HTM  [9 Disember 2009]
[45] Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 23
[46] K.H.M Ali Usman, 1979, Manusia Jin Mengganggu Ketenteraman, Jakarta : Penerbit Bulan Bintang, hlm. 51
[47] Geoffrey Scarre, 1987, Witchcraft And Magic In 16th and 17th Century Europe. London : MacMillan Education Ltd. hlm. 13
[48] Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 27
[49] Ibid. hlm. 266-267
[50] Richard Kickhefer, 1990,  Magic in the Middle Ages, Great Britain : Cambridge University Press, hlm. 179
[51] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks. 2003. Luther On Women : A Sourcebook, Cambridge : Cambridge Univesity Press. hlm. 236
[52] Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 35
[53] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks. 2003. Op. cit., hlm. 228
[54] Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends. London : Headline Book Publishing, hlm. 499
[55] Onesmus K. Mutungi, The Legal Aspects of Witchcraft In East Africa With Particular Reference To Kenya, 1977, hlm. 59
[56] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 268-273
[57] William Shaw, 1975, Aspect of Malaysian Magic, Muzium Negara, Kuala Lumpur, hlm. 67
[58] Mahyuddin Ismail, 2011, Op. cit., hlm. 273
[59] Ibid. hlm. 274

Tiada ulasan: