16 Mei 2012

Teks Perundangan Islam

Nota Teks Perundangan Islam
{Petikan nota syarahan yang diberikan oleh Profesor Dr. Ahmad Hidayat Buang}

Genre dan Metodologi penulisan 

(1) Penulisan Zaman Awal bermula pada kurun kedua hijrah sehingga kurun ke empat bersifat polemik dan pernyataan dasar atau Usul pengeluaran hukum. Penulisan hadis yang berasaskan kepada perbincangan fiqh juga bermula pada masa kini

(2) Zaman Pertengahan bermula setelah berdiri mantapnya mazhab sehingga kejatuhan Baghdad bermulanya zaman kelemahan fiqh. Banyak bersifat pengumpulan fatwa-fatwa imam dalam penulisan manual fiqh dan pernyataan usul pengeluaran mazhab. Di sini bermula genre penulisan fiqh yang terus berkembang pada zaman selepasnya.

(3)Zaman Taqlid di mana penulisan tertumpu kepada pengembangan dan pengukuhan mazhab-mazhab. Banyak tertumpu pengeditan fatwa-fatwa mazhab bagi kegunaan harian mahupun masyarakat dan negara dalam bentuk syarahan dan seterusnya

###Genre penulisan perundangan Islam seperti di atas :

Fiqh, Usul al-Fiqh, Tafsir dan Syarah Hadith al-Ahkam, Qawaid Fiqhiyyah, Fatawa, Fiqh Perbandingan dan penulisan khusus fiqh seperti Qada', Mal dan Siyasah serta termasuk juga penulisan mengenai bibliografi ahli-ahli fiqh iaitu Tabaqat. 

Autoriti Penulisan Fiqh Syafi’i 

Kepentingan mengetahui autoriti penulisan fiqh Syafi'i kerana undang-undang pentadbiran di Malaysia memberi pengiktirafan kepada mazhab berkenaan di dalam pentadbiran perundangan Islam di Mahkamah dan pengeluaran fatwa serta amalan keagamaan masyarakat. Yang dimaksudkan dengan auoriti penulisan fiqh Syafi'i ialah sumber penulisan mazhab yang dianggap kuat dan muktamad mewakili mazhab Syafi'i. Penulisan yang dianggap autoriti mewakili mazhab ialah Minhaj al-Talibin (منهاج الطالبين) tulisan Imam Muhy al-Din al-Nawawi. Tulisan ini merupakan ringkasan kepada Mukhtasar al-Muharrar tulisan Imam Abd al-Karim al-Rafi'i. Kitab al-Minhaj ini kemudiannya telah disyarahkan oleh banyak ulama Syafi'i selepasnya. Tulisan Imam Nawawi ini dianggap berautoriti kerana ianya merupakan hasil pertarjihan yang telah dibuat kepada masalah-masalah khilaf di dalam mazhab Syafi'i. Hasil pertarjihan ini disepakati oleh ulama Syafi'i kemudiannya sebagai mewakili mazhab Syafi'i yang menepati Usul al-Mazhab dan nas-nas Syarak. Antara istilah-istilah tarjih yang digunakan oleh Imam al-Nawawi ialah:

(1) al-Azhar (الاظهر) bermaksud terdapat dua atau lebih pandangan Imam Syafi'i dalam masalah tertentu, namun begitu terdapat pandangan sebaliknya (muqabil) atau khilaf lebih kuat.

(2) Al-Masyhur (المشهور) bermaksud seperti di atas cuma pandangan yang sebaliknya adalah lemah.

(3) al-Asah (الاصح) bermaksud pentarjihan pandangan ashab al-wujuh dalam mazhab yang mana khilaf kepada pandangan berkenaan adalah kuat dari segi dalil.

(4) al-Sahih (الصحيح) dan al-Sawab (الصواب) bermaksud seperti di atas cuma pandangan yang khilaf itu lemah dari segi dalil.

(5) al-Mazhab bermaksud mentarjih antara jalan-jalan riwayat Imam atau ashab al-wujuh iaitu riwayat yang paling asah.

Tafsir al-Ahkam

1. Terdapat dua bentuk tafsir utama iaitu tafsir secara ma'thur dan secara ra'y. Secara umumnya tafsir secara ma'thur diutamakan namun dalam keadaan tertentu terutama untuk memahami aspek-aspek tertentu seperti bahasa, tasauf, dan sebagainya. Contoh tafsir secara ma'thur seperti Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir. Manakala contoh tafsir secara ra'y ialah Tafsir Ruh al-Ma'ani dan Tafsir al-Kashshaf.

2. Terdapat juga tafsir yang khusus dalam aspek hukum fiqh yang dikenali sebagai tafsir al-ahkam. Terdapat dua kecenderungan tafsir ini iaitu berasaskan kepada mazhab dan tidak berasaskan mazhab. Maksud yang berasaskan mazhab ialah penulisan berkenaan tafsiran berkenaan dibuat mendokong mazhab penulis.

3. Terdapat empat penulisan utama tafsir iaitu Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Ibn 'Arabi, Tafsir al-Jassas dan Tafsir al-Kahayarasi. Disamping itu terdapat beberapa tafsir moden lain yang menumpu kepada ayat al-ahkam seperti tulisan oleh al-Sabuni.

Ahadith al-Ahkam

Kitab-kitab hadith disusun mengikut bab-bab fiqh. Oleh yang demikian kitab hadith yang terawal iaitu al-Muwatta karangan Imam Malik dikatakan juga sebagai kitab Fiqh. Namun begitu terdapat juga bab-bab lain seperti Akidah, peristiwa, tafsir dan sebagainya.

Kitab hadith yang terkenal ialah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ al-Tirmidhi, Sunan Abi Daud, Ibn Majah dan Nasa’i yang juga dikenali sebagai Sunan al-Sittah. Sahih Bukhari dan Muslim dianggap sebagai kitab kedua terbaik selepas al-Quran

Di samping itu terdapat juga kitab-kitab hadith yang tidak kurang pentingnya seperti Musnad Ibn Hanbal, Sunan Darimi, Baihaqi, Darulqutni dan sebagainya yang digunakan dalam rujukan Hadith

Selepas daripada selesai proses pengumpulan hadith-hadith seperti di atas, sesetengah ulama menumpukan perhatian kepada penulisan hadith yang berasaskan hukum atau apa yang dikenali sebagai ahadith ahkam seperti:

(1) Ibn Daqid al-‘Id (d.702H)dalam kitabnya Ihkam al-Ahkam Syarh al-‘Umdah al-Ahkam

(2) Muhammad Khatib al-Tibrizi(d.737H) dalam kitabnya Misykat al-Masabih (dalam 3 jilid)

(3) Ibn Hajar al-Asqalani(d.852) dalam kitabnya Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam. Kitab ini kemudiannyadisyarah oleh San’ani (d.1182H) di dalam kitab Subul al-Salam

(4) al-Syawkani (d.1255H) didalam kitabnya Nayl al-Awtar

Para ulama juga membuat syarahan secara fiqhiyyah kepada Kitab Sunan Sittah seperti:

(1) Ibn Hajar al-‘Asqalani(d.852) syarahan kepada Sahih Bukhari bertajuk Fath al-Bari (dalam 13 jilid)

(2) Mahmud Ahmad al-‘Ayni(d.855H) juga syarahan kepada Sahih Bukhari bertajuk ‘Umdah al-Qari’ (dalam 25jilid)

(3) Ahmad bin Muhammadal-Qistalani (d.923H) juga syarahan kepada Sahih Bukhari bertajuk Irsyad al-Sari (dalam 12 jilid)

(4) Imam Nawawi syarahan kepada Sahih Muslim

(5) Ibn ‘Arabi syarahan kepada Jami' al-Tirmidhi dikenali dengan Tuhfat al-Ahwadhi

Tidak ketinggalan syarahan juga dibuat kepada kitab-kitab hadith yang lain seperti berikut:

(1) Sulayman bin Khalafal-Andalusi al-Baji (d.474H), syarahan kepada al-Muwatta’ bertajuk Kitab al-Muntaqa Syarh al-Muwatta (dalam 7 jilid)

(2) Muhammad bin Abd al-Baqial-Zurqani (d.1099H) juga syarahan kepada al-Muwatta’ bertajuk Syarh al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’ (dalam 4 jilid)

(3) Ahmad bin Abi Bakr al-Bana al-Sa’ati, syarahan dan susunan bab-bab kepada Musnad Ibn Hanbal bertajuk al-Fath al-Rabbani li Tartib Musnadal-Imam Ahmad Ma’a Bulugh al-Amani min Asrar al-Fath al-Rabanni (dalam 24jilid)

(4) Ali bin Sultan Muhammad al-Qari', syarahan kitab Misykat al-Masabih bertajuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih.

Sesetengah menulis kitab mengulas hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab fiqh seperti Abdullah bin Yusuf al-Zayla'i (d.762H) di dalam kitabnya Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah. Manakala Jami al-Tirmidhi diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi bertajuk Bahr al-Madhi.

Al-Umm wa al-Risalah

1. Kitab al-Umm ditulis semasa Imam al-Syafi'i berada di Mesir. Kitab ini disalin daripada riwayat al-Syafi'i oleh al-Rabi' bin Sulaiman samada yang didengar oleh al-Rabi' dari Syafi'i atau disalin daripada tulisan Syafi'i. 

2. Terdapat lapan kitab lain yang dihimpunkan dalam Kitab al-Umm. Nama-nama kitab ini berasaskan kepada perbincangan atau perbahasan Imam al-Syafi'i dengan ulama fiqh yang lain sezaman dengannya

3. Perbincangan dalam kitab al-Umm disusun mengikut bab fiqh yang menyentuh perbahasan mengenai dalil-dalil hukum fiqh dan polemik yang timbul di antara ulama. Oleh yang demikian kitab ini mempunyai pelbagai perbincangan yang kemudiannya dianggap pandangan mazhab al-Syafi'i.

4. Kitab al-Umm diringkas oleh Ismail bin Yahya al-Muzani dengan nama al-Mukhtasar dan ianya diterbitkan bersama dengan Kitab al-Umm yang diterbitkan oleh Maktabah al-Kuliyyat al-Azhariyyah diedit oleh Muhammad Zuhri al-Najjar, iaitu seorang ulama Universiti al-Azhar.

5. Kitab al-Risalah ditulis oleh Imam al-Syafi'i semasa beliau berada di Baghdad. Ada riwayat menyatakan pada asalnya ditulis di Mekah. Oleh itu terdapat dua kitab risalah iaitu al-Qadimah dan al-Jadidah. Namun al-Qadimah sudah hilang.

6. Imam al-Syafi'i mengulang/menyemak penulisan kitab al-risalah ini semasa di Mesir dan banyak merujuknya dalam kitab al-Umm yang dikenalinya sebagai al-Kitab. Nama risalah ialah kerana tulisan kitab ini dikirim kepada seorang bernama Abdul Rahman bin Mahdi.

7. Ramai ulama, bahkan dikatakan ijma' bahawa kitab al-risalah ini yang pertama ditulis dalam bidang Usul al-Fiqh.

Mutun Syafi'iyyah
 
1. Yang dimaksudkan dengan mutun shafi'iyyah ini ialah penulisan atau manual karangan ulama mazhab Syafi'i yang menjadi asas kepada penulisan selepasnya. Kedudukan ulama secara umumnya berakhir pada abad ke5 hijrah, sungguhpun Imam al-Nawawi dari kalangan penulis ini meninggal dunia di akhir kurun ke 7H. Penulisan mereka berasaskan kepada pentarjihan kepada fatwa-fatwa mazhab yang dianggap kuat dan muktamad dalam mazhab.

2. Dalam hubungan ini terdapat 4 tingkatan ulama mujtahid dalam mazhab Syafi'i iaitu seperti berikut:

(a) Mujtahid Muntasib (مجتهد منتسب) iaitu kumpulan ulama yang pada hakikatnya mereka berupaya berijtihad sendiri tanpa perlu mengikut kaedah Imam mazhab, namun mereke cenderung dan bersetuju dengan kaedah berkenaan. Mereka ini oleh itu tidak terikat dengan Usul dan Furu' mazhab. Sahabat Imam Syafi'i seperti al-Buwaiti dan al-Muzani contohnya dikatakan sebagai mujtahid muntasib.

(b) Mujtahid Muqayyidun (مجتهد مقيدون). Kumpulan ini terikat dengan Usul mazhab Imam, namun mereka berbeza dengan Imam pada masalah furu' di mana mereka akan mengutarakan pandangan sendiri. Kepentingan mereka dalam mazhab ialah mereka melakukan usaha takhrij fatwa-fatwa dalam mazhab iaitu satu aktiviti mengkategori qawl-qawl dalam mazhab baik samada pandangan yang kuat atau sebaliknya. Imam al-Nawawi menamakan golongan ini sebagai Ashab al-Wujuh (أصحاب الوجوه), yakni kalangan mereka yang mempunyai pandangan sendiri dalam masalah furu' yang berbeza daripada Imam.

(c) Kumpulan ulama ini mereka mengumpul, menyusun dalil-dalil mazhab dari segi kekuatannya, memberi penjelasan kepada masalah-masalah dalil fiqh (تهذيب المسائل) serta mengumpul perbincangan furu' fiqh mazhab. Mereka ini terikat dengan Usul dan Furu' mazhab, namun mereka faham serta menguasai fatwa mazhab iaitu mempunyai keupayaan memahami dalil mazhab dengan menjelaskan dalil-dalil yang digunakan serta menyusun asas-asas ijtihad serta qiyas yang digunakan. Golongan ini dikenali sebagai Ashab al-Tarjih.

(d) Kumpulan ulama ini mereka faham dan menguasai fatwa mazhab serta berupaya untuk memindahnya sama ada melalui lisan atau penulisan. Namun mereka berbeza daripada ashab al-tarjih, iaitu tidak melakukan penjelasan dalil yang digunakan serta menyusun kaedah qiyas dalam mazhab. Golongan ulam ini dikenali sebagai Mujtahid Muqallid.

(3) Antara ulama yang terkenal dalam kumpulan dalam keempat kumpulan di atas ialah seperti berikut:

- Muzani, Mukhtasar Muzani (terlampir dalam Kitab al-Umm)

- Abu al-Hasan 'Ali bin Muhammad al-Mawardi (d.450H.), Kitab al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Imam al-Syafi'i dan Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah.
- Abu Ishak Ibrahim bin Ali al-Fayruzabadi al-Syirazi (d.476H). Kitab al-Tanbih[1] dan al-Muhadhdhab fi al-Fiqh[2]

- Abu al-Ma’ali Abd al-Malik bin Abdullah al-Juwaini (masyhur dengan gelaran Imam Haramayn, 478H). Kitab al-Nihayat fi al-Fiqh dan al-Burhan fi Usul al-Fiqh.

- Abu al-Mahasin Abd al-Wahid bin Ismail al-Ruyani (d.502H). Kitab al-Bahr fi al-Mazhab. (terbunuh di Tabaristan pada hari jumaat hari Asyura).

- Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (digelar dengan Hujjatul Islam serta murid kepada Imam al-Haramayn d.505H). Kitab al-Wajiz fi al-Fiqh.[3] 

- Syihabuddin Ahmad bin al-Hussain bin Ahmad Abu Syuja’ (dilahirkan di Basrah pada 433 atau 533H? dan dikatakan berumur sehingga 160 tahun? meninggal pada 593). Kitab Matn al-Ghayah wa al-Taqrib.[4]

- Abu al-Qasim Abd al-Karim bin Muhammad al-Qazwini al-Rafi‘i (d.623H). Kitab al-Muharrar (kumpulan fatwa mazhab yang dipetik dari kitab al-Wajiz oleh al-Ghazali).

- Muhyuddin Abi Zakaria Yahya bin Syaraf bin Muri al-Nawawi (dilahirkan pada 631H dan meninggal pada 24 rejab 676H). Mempunyai beberapa kitab iaitu Rawdah al-Talibin (iaitu ringkasan kepada kitab Fath al-Aziz) dan Minhaj al-Talibin (iaitu ringkasan kepada kitab al-Muharrar).

-  Abu Khayr Abdullah bin Umar al-Baydawi (d.698H). Kitab al-Ghayat al-Quswa fi al-Fiqh dan al-Minhaj fi al-Usul (kitab Usul al-Fiqh yang terkenal dalam mazhab al-Syafi’i).[5] 

- Shihabuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Husain bin Hasan bin Raslan (dikenali sebagai Ibn Raslan) (773-844 atau 848H). Kitab Safwat al-Zubad atau Matn al-Zubad fi al-Fiqh ‘ala Mazhab al-Syafi’i.[6] Kitab ini adalah berbentuk Nuzum (iaitu bayt sya’ir) yang berasal dari buku karangan HibatuLlah bin Abd al-Rahim al-Barazi (645-738H). Kitab ini dikatakan berasal daripada Matn Abi Syuja’ dengan beberapa penambahan oleh pengarang. Terdapat beberapa lagi ringkasan yang berbentuk nuzum ini seperti berikut:

(a) Tahrir Tanqih al-Lubab oleh Zakariyya al-Ansari
(b)Qurrat al-‘Ayn bi Muhimmat al-Din min Waraqat Imam Haramayn
(c) Al-Bahjat al-Wardiyyah
(d)Al-Irsyad al-Muqri


Shuruh al-Syafi’iyyah

1.   Yang dimaksudkan dengan shuruh al-syafi’iyyah ialah manual atau kitab penulisan yang berasaskan kepada penulisan asal seperti di atas. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini penulisan dalam bentuk pengumpulan dan penyusunan fatwa-fatwa yang telah diedit atau dijelaskan dalil-dalilnya oleh ulama berlaku di peringkat awal mazhab terutama sehingga di kurun keempat dan kelima Hijrah. Selepas masa ini pada ulama mazhab banyak menumpukan perhatian kepada pengembangan apa yang telah dikumpulkan dan dijelaskan oleh ulama sebelumnya.

2.   Pengembangan yang dilakukan ini berlaku dalam dua bentuk iaitu (1) penulisan ringkasan atau mukhasar/matn sebagaimana yang dilakukan oleh ulama seperti ringkasan Imam Nawawi terhadap kitab Muharrar karangan Imam al-Rafi’i yang dinamakan dengan al-Minhaj dan ringkasan yang dilakukan oleh Imam Zakaria al-Ansari terhadap kitab karangan Imam Nawawi sendiri iaitu al-Minhaj yang dinamakan dengan Minhaj al-Tullab. Manakala bentuk yang ke(2) ialah dalam bentuk syarahan kepada ringkasan-ringkasan ini atau apa yang dikenali sebagai syuruh.

3.   Syarahan atau juga disebut dalam bahasa Inggeris sebagai commentary ini adalah dalam dua bentuk iaitu (1) syarahan kepada matan atau ringkasan teks dan (2) syarahan kepada syarahan ringkasan teks berkenaan yang dikenali sebagai Hasyiah supercommentary. Maksud syarahan ini ialah penerangan yang dibuat oleh ulama selepasnya terhadap ringkasan yang ditulis terdahulu. Penerangan dan penjelasan ini dibuat kepada maksud-maksud perkataan yang padat dan tambahan-tambahan penerangan seperti contoh-contoh dan makna-makna dari segi bahasa. Terdapat juga penerangan dari aspek perbincangan atau perbahasan khilaf di kalangan ulama mengenai bab-bab fiqh.

4.   Syarahan ringkasan teks yang dibuat oleh ulama mazhab pada kurun ke5 dan 6 hijrah ini kebanyakannya disyarah oleh ulama yang hidup pada kurun 8-9 Hijrah seperti Muhammad al-Khatib al-Syirbini (iaitu syarah kepada al-Minhaj bernama Mughni al-Muhtaj dan syarah kepada Matn al-Ghayah bernama al-Iqna’), Shamsuddin al-Ramli (syarah al-Minhaj bernama Nihayat al-Muhtaj) dan Ibn Hajar al-Haytami (juga syarah al-Minhaj bernama Tuhfat al-Muhtaj). Kitab al-Minhaj karangan Imam al-Nawawi adalah yang terbanyak diberi syarahan. Antara yang terkenal selain daripada di atas seperti berikut:

(a)  Syarh al-Minhaj oleh al-Mahalli.
(b) Syarh Ghayat al-Bayan ‘ala Matn Zubad Ibn Raslan oleh al-Ramli
(c)  Syarh Fath al-Mu‘in ‘ala Qurrat al-‘Ayn oleh al-Malabari
(d) Syarh Ibn Qasim al-Qazzi ‘ala Matn Abi Shuja‘
(e) Syarh Fath al-Wahhab ‘ala Minhaj al-Tullab oleh Zakaria Ansari (self commentary)
  

5.   Sungguhpun demikian aktiviti syarahan ini sebenarnya sudah bermula sejak dari kurun ke 5 lagi iaitu seperti syarahan yang dibuat oleh Imam al-Nawawi terhadap kitab al-Muhahdhdab karangan Shirazi bernama al-Majmu’ (tidak selesai, dilengkapkan oleh Imam Subki dan Sheikh Muti’i) dan syarahan Imam al-Rafi’i bernama Fath al-‘Aziz terhadap kitab Imam al-Ghazali bertajuk al-Wajiz.

6.   Kitab-kitab syarahan ini pula disyarahkan lagi oleh ulama-ulama mutaakhir pada kurun ke10 dan 11 hijrah dalam bentuk apa yang dinamakan sebagai Hasyiah. Antara yang terkenal ialah Hasyiah Qalyubi dan Hasyiah Umayrah yang merupakan syarahan kepada Syarah al-Mahalli. Begitu juga dengan Hasyiah Bajuri yang merupakan syarah kepada Iqna’. Hasyiah yang lain adalah seperti berikut:

(a) Hasyiah Birmawi ‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazi
(b)Hasyiah Dimyati iaitu I‘anat al-Talibin ‘ala Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrat al-‘Ayn
(c) Hasyiah al-Rasyidi ‘ala al-Nihayat li al-Ramli
(d)Hasyiah al-Syirqawi ‘ala Syarh al-Tahrir li Zakariyya al-Ansari
(e)Hasyiah al-Syirwani wa al-Ibadi ‘ala al-Tuhfat li Ibn Hajar al-Haytami

Fiqh al-Qada’

Secara umumnya terdapat tiga kategori penulisan fiqh al-qada' iaitu:

1. Penulisan umum fiqh yang mengandungi perbincangan mengenai al-Qada' seperti Syahadah, syarat qadi, bayyinah dan sebagainya.

2. Penulisan khusus mengenai al-Qada'. Termasuk di bawah kategori ini ialah penulisan mengenai hisbah. Antara penulisan yang terkenal dalam bidang ini ialah:
- al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah
- Ibn Abi Dam, Adab al-Qudah
- Ibn Farhun, Tabsirah al-Hukkam
- Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Turuq Hukmiyyah
- al-Tarabulusi,
- Ibn al-Ukhuwwah, Ma'alim al-Qurba

3. Penulisan dari aspek sejarah mengenai al-Qada'. Kepentingan penulisan ini dalam pengajian fiqh ialah dari segi amalan-amalan kehakiman Islam pada masa lalu yang relevan dengan amalan semasa. Antara kitab yang terkenal dalam bidang ini ialah al-Kindi, Tarikh al-Qudah.


[1] Disyarah oleh Imam al-Nawawi dengan tajuk Tahrir Alfaz al-Tanbih.
[2] Ibidem dengan tajuk al-Majmu‘
[3] Disyarah oleh al-Rafi’i dengan tajuk Fath al-Aziz.
[4] Disyarah oleh Muhammad al-Khatib al-Syirbini dengan tajuk al-Iqna‘
[5] Disyarah oleh ramai ulama antaranya, Sirajuddin al-Makhzumi, Tajudin al-Subki, al-Isnawi dan al-Badakhsyi.
[6] Disyarah oleh Muhamad bin Ahmad al-Ramli (919-1004H) dengan tajuk Ghayat al-Bayan Syarh Zubad Ibn Raslan.
 

Tiada ulasan: