26 Jun 2013

Jom Baca Ulasan novel: Nak Kahwin Duit Tak Ada.


Judul: Nak Kahwin Duit Tak Ada
Pengarang: Naufal Tarmizi
Penerbit: JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Tahun terbit: Jun 2013
Bil. muka surat: 573
Harga: RM25 / RM28

Nak Kahwin Duit Tak Ada karya sulung Naufal Tarmizi merupakan sebuah karya yang pada saya menarik dan unik. Daripada judulnya saja para pembaca sudah boleh agak cerita ini kemungkinan besar bersifat humor. Ya, novel ini sememangnya mampu membuat anda tergelak kecil saat menaiki tren komuter untuk balik ke kampung di Seremban. Tapi, ia bukan ada humor semata-mata. Ia kisah pengorbanan, kesetiaan, penipuan dan misteri yang terlerai satu per satu.

Kisahnya mengenai Saiful Ammar, graduan lepasan universiti yang telah berkawan dengan Hanis Amirah. Mereka sudah berkenalan selama empat tahun dan membayangkan hubungan mereka akan diakhiri dengan ikatan pernikahan yang sah. Tetapi, sebaik sahaja menamatkan pelajaran di universiti, Ammar seakan ragu-ragu dengan keputusan untuk berkahwin dan meminta Hanis Amirah menangguhkan dahulu perkahwinan mereka. Gadis itu pula terus mendesak Ammar untuk segera berjumpa dengan ayahnya, Haji Arshad untuk datang merisik Hanis Amirah. Tambahan pula, Haji Arshad sudah berjanji dengan kenalannya iaitu Haji Harun untuk menjodohkan Hanis Amirah dengan Badrul Muhaimin, jejaka lepasan universiti luar negara.

Dalam masa yang sama, ibu Ammar, Puan Zalina inginkan Maria Marissa menjadi calon isteri Ammar. Gadis itu sudah lama memendam rasa dengan Saiful Ammar sejak kecil lagi. Namun, Ammar menganggap Maria Marissa hanyalah dianggap seperti adiknya sendiri.

Membaca novel ini daripada muka surat ke muka surat yang lain seolah-olah menaiki roller coaster. Kisah Saiful Ammar yang bersungguh-sungguh mencari duit untuk menampung perbelanjaan kahwinnya dengan pelbagai halangan yang ditempuhi, membuatkan pembaca seperti saya turut merasai keperitan itu.

Ammar yang merupakan antara pelajar terbaik di universiti akhirnya terpaksa akur untuk bekerja di kedai runcit Pak Hashim sebagai pembantu kedai. Kemudian, tanpa disangka dia mula terjebak dengan masalah pergeseran antara dua buah kongsi gelap. Ini semua gara-gara sikap gopohnya yang bekerja lebih masa di bengkel cat kereta dengan gaji yang lumayan. Nah, di sinilah saya merasakan kisah lucu + sedih Saiful Ammar menjadi sebuah kisah thriller yang mendebarkan.

Penangkapan Ammar sememangnya mengecewakan Hanis Amirah dan keluarganya. Lebih-lebih lagi buat Ammar sendiri. Penulis membawa kita ke satu persoalan yang membuat pembaca terus menyelak ke setiap muka surat. Kenapa Ammar ditangkap sedangkan dia sendiri tidak mengetahui punca sebenar dia ditangkap.

Kisah hidup Saiful Ammar sebenarnya merupakan kisah yang selalu terjadi dalam kalangan kita. Masalah mencari wang untuk kahwin. Tak ada duit, tak kahwin. Penulis memulakan penceritaan novel ini dengan sesuatu yang klise pada mulanya. Ia bermula dengan persoalan Hanis Amirah tentang perkahwinan mereka sambil dia dan Ammar menaiki kereta Chevrolet. Tipikal novel/drama Melayu. Namun, ketawa saya pecah apabila rupa-rupanya ia sebuah kereta pandu uji saja. Ammar hanya memiliki skuter merah jambu terpakai.

Penulis bijak mengimbangkan ceritanya dengan humor, sedih, thriller beserta mesej-mesej tersirat yang menyentap perasaan. Antara Hanis Amirah dan Maria Marissa, siapa pilihan Ammar. Saya sebagai pembaca sendiri bingung kerana kedua-duanya ada potensi untuk menjadi suri hati Ammar. Anda perlu membacanya sendiri.

Apa yang jelas yang saya dapat daripada novel ini: Jika niat kita baik, insya-Allah ada jalan keluar.
Tahniah, Naufal Tarmizi untuk novel yang menyeronokkan ini.

Editor JS Adiwarna

 Jika ingin membeli secara atas talian, sila klik link ini:
http://www.jsadiwarna.com/pesanan/pembelian-online/cara-pembelian.htm

21 Jun 2013

Beli online novel "Nak Kahwin Duit Tak Ada"

Salam semua,

Untuk makluman novel pertama aku yang berjudul 'Nak Kahwin Duit Tak Ada' sudah boleh didapati di kedai buku seperti Popular, MPH, Badan Cemerlang dll...

Kalau susah nak berjalan masuk kedai buku, boleh order online...

http://www.mphonline.com/books/nsearchdetails.aspx?&pcode=9789670201788 --> link MPH

Ataypun dapatkan di lama web js adiwarna... Cara-cara pembelian online boleh rujuk


http://jsadiwarna.com/pesanan/pembelian-online/cara-pembelian.html